Teliti dahulu cadangan pengambilan pekerja Afrika

Amzad (kiri) bersalaman bersama tetamu yang hadir sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Parlimen Kuala Terengganu di sini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan perlu meneliti terlebih dahulu cadangan pengambilan pekerja warga asing dari Afrika kerana dikhuatiri akan memberikan kesan negatif kepada rakyat negara ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, pelbagai masalah yang ditimbulkan oleh warga Afrika yang direkodkan menguatkan lagi alasan bahawa kerajaan perlu membuat pertimbangan sewajarnya terhadap cadangan itu.

“Saya berharap cadangan ini diperhalusi kerana sekarang pun kita berdepan banyak masalah yang ditimbulkan pekerja asing yang datang dari Myanmar atau Indonesia.

“Pekerja-pekerja asing dari rantau Asean ini yang kita anggap sepatutnya lebih cepat menyesuaikan diri dengan kebudayaan dalam negara kita, sebaliknya menimbulkan banyak masalah yang lain,” katanya.

Katanya, cadangan itu perlu dikaji ekoran pelbagai maklumat dan laporan yang telah dibuat berhubung masalah yang ditimbulkan oleh warga Afrika yang berada dalam negara ini.

“Secara umumnya di Parlimen pun kita banyak perkatakan mengenai kebanjiran pekerja asing ini, sekiranya mahu tambah lagi pekerja asing dari Afrika, saya menyatakan keprihatinan saya berhubung perkara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, perwatakan pekerja yang bekerja dalam sektor perladangan di Afrika juga perlu dikenal pasti bagi mengelak sebarang insiden buruk sekiranya mereka dibawa ke negara ini.

“Saya khuatir kalau tak kaji lebih lanjut perwatakan pekerja ladang di sana sebelum dibawa ke sini, muncul pula gejala-gejala baharu yang memberi kesan kepada rakyat negara ini,” katanya.

Terdahulu, Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, kerajaan akan mempertimbangkan untuk mengambil pekerja asing dari Afrika bagi menampung keperluan tenaga pekerja asing dalam sektor perladangan pada masa akan datang.

Katanya, ia kerana pekerja asing dari Vietnam dan Indonesia enggan datang untuk bekerja di negara ini disebabkan gaji yang diterima tidak jauh berbeza dengan negara asal.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia