X

Kindly register in order to view this article
!

94 warga asing ditahan dalam ops cegah PATI

PATI yang ditahan dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang. - FOTO IHSAN POLIS KUALA LUMPUR
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 94 orang warga asing telah ditangkap Operasi Bersepadu Cegah Jenayah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) awal pagi tadi di sekitar ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam operasi yang bermula jam 4 petang semalam hingga jam 5 pagi tadi, seramai 271 warga asing diperiksa dan 94 ditahan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 11 orang merupakan warga Nigeria, Bangladesh (31), Myanmar (28), Indonesia (11), Nepal (4), India (5), Pakistan (2) dan Vietnam (2).

"Operasi telah dijalankan di sekitar kawasan Setapak, LRT Bandar Tasik Selatan, Stesen Bas Kota Raya, Jalan Chow Kit, Pasar Chow Kit, Jalan Tun Sambanthan, Jalan Sepadu Klang Lama, Sri Petaling, Jalan Alor, Lorong Merbau Off Jalan Kenanga, Jalan Segambut Pusat, Jalan Ipoh, Taman Seri Kuching dan Jalan Tun Razak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, mereka yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah dan akta-akta yang berkaitan.

"Tangkapan yang ditahan dalam operasi tersebut dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang untuk tindakan lanjut mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Tambahnya, Polis Kuala Lumpur memandang serius isu kebanjiran warga asing terutamanya warga Afrika yang menyumbang ke arah kejadian jenayah berlaku di negara ini.

"Operasi seumpama ini akan diteruskan bagi membanteras permasalahan kebanjiran warga asing sekali gus berusaha menurunkan kadar jenayah yang disebabkan oleh warga asing.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat bolehlah menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran," katanya.

Dalam operasi ini, seramai 197 orang pegawai kanan dan anggota polis Kuala Lumpur serta enam orang pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia terlibat.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!