Beri perhatian anggota polis berpangkat rendah

Lam Thye (kiri) melihat keadaan sebahagian unit kuarters polis di Balai Polis Kuala Kedah yang usang dan mengalami kerosakan.
Lam Thye (kiri) melihat keadaan sebahagian unit kuarters polis di Balai Polis Kuala Kedah yang usang dan mengalami kerosakan.
A
A
A

ALOR SETAR - Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) meminta kerajaan memberi perhatian terhadap kebajikan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat rendah bagi memastikan kualiti kerja berada pada tahap terbaik.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, aspek kebajikan anggota polis dilihat masih rendah terutama keadaan kediaman seperti kuarters polis yang sangat daif.

Menurutnya, pihaknya percaya banyak lagi kuarters polis di seluruh negara mengalami masalah sama seperti usang, tidak boleh didiami kerana banyak kerosakan serta tidak diselenggara dengan baik.

“Hasil lawatan ke kuarters Balai Polis Kuala Kedah mendapati keadaannya sangat daif, malah saluran najis dan beberapa bahagian lain termasuk bumbung bocor. Hanya 16 unit daripada 26 unit rumah boleh diduduki, namun keadaannya sangat tidak selesa,” katanya selepas menyampaikan sijil pelantikan kepada Ahli Jawatankuasa MCPF Kedah serta sambutan Hari Raya MCPF negeri, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob.

Lam Thye berkata, persekitaran kediaman yang kurang memuaskan ini dibimbangi akan mempengaruhi hasil kerja anggota polis terlibat.

“Kami akan hantar satu memorandum kepada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador bagi memaklumkan hasil lawatan ke kuarters polis itu yang dibina pada tahun 1969. Ia sebagai tindakan sokongan kepada polis agar kerajaan menangani masalah yang sudah lama berterusan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya bukan berhasrat mahu campur tangan namun ia perlukan perhatian serius daripada kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“MCPF bukan mendesak, cuma harap kerajaan beri perhatian serius. Aspek lain termasuk penyelenggaraan kenderaan polis bagi memastikan gerak kerja lebih efisien, selain persekitaran kerja kurang memuaskan seperti ruang balai sempit, kekurangan kerusi menyebabkan orang ramai tidak dapat duduk, sekali gus memberi gambaran kurang baik terhadap PDRM,” katanya.

Lam Thye juga berharap kerajaan menyemak semula Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) anggota polis yang disifatkan rendah, iaitu RM300 terutama yang bekerja di bandar besar berikutan peningkatan kos sara hidup.

“Pertambahan ITP sekurang-kurangnya meringankan beban anggota polis yang menyewa rumah berbanding tinggal di kuarters yang daif," katanya.