Siasatan 1MDB siap 1 hingga 2 bulan lagi

 Noor Rashid Ibrahim
Noor Rashid Ibrahim
A
A
A

GEORGETOWN - "Siasatan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi," kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Beliau berkata pada masa ini pihaknya sedang menyiapkan kertas siasatan dengan mengumpulkan semua keterangan dalam satu fail siasatan sebelum menyerahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AG) untuk tindakan selanjutnya.

"Kalau mengikut perancangan, kami mahu kertas siasatan itu diselesaikan secepat mungkin...setiap minggu pasukan khas yang menyiasat kes itu mengadakan perbincangan supaya dapat mengambil tindakan secepat mungkin...siasatan kes itu berjalan lancar dan kami cuba siapkan dalam masa terdekat.

"Kini tanggungjawab polis mengumpulkan semua keterangan mereka yang telah direkodkan termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya (Datin Seri Rosmah Mansor) serta semua yang telah diambil keterangan dimasukkan dalam satu fail penyiasatan untuk diserahkan kepada (AG)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada program Kayuhan Solidariti Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, di sini malam tadi.

Program itu dirasmikan Tunku Laksamana Kedah Datuk Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehudin.

Seramai 4,000 peserta mengambil bahagian dalam kayuhan sejauh 56.5 kilometer itu.

Noor Rashid berkata polis akan memanggil beberapa lagi individu terlibat dalam beberapa syarikat yang mempunyai kaitan dengan 1MDB untuk direkodkan keterangan bagi siasatan kes berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu dalam perkembangan lain, Noor Rashid berkata siasatan kes Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan masih diteruskan.

Beliau berkata polis juga menyiasat daripada semua segi termasuk laporan polis yang dibuat Nazrin berhubung ugutan bunuh tiga bulan sebelum beliau dibunuh.

"Kami tidak pernah berhenti menyiasat kes itu dan siasatan dijalankan secara rapi serta teliti demi keadilan untuk mangsa," katanya.

Nazrin, 45, maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes di Petaling Jaya pada 14 Jun lepas dan ia diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran. - Bernama