Sasar Jeti Kelip-kelip Kampung Dew terbaik dunia

Shahril (kiri) memberi taklimat kepada Abdul Yunus (kanan) mengenai perkembangan projek kajian pemuliharaan kelip-kelip dan habitat di Kampung Dew, hari ini.
Shahril (kiri) memberi taklimat kepada Abdul Yunus (kanan) mengenai perkembangan projek kajian pemuliharaan kelip-kelip dan habitat di Kampung Dew, hari ini.
A
A
A

BUKIT GANTANG - Tenaga Nasional Berhad (TNB) komited menaik taraf dan memulihara Pusat Pelancongan Kelip-kelip Kampung Dew, di sini menjadi pusat pelancongan kelip-kelip terbaik di dunia dengan sokongan Kerajaan Perak.

Ketua Unit Sains Alam Sekitar dan Regulator TNB Research Sdn Bhd, Shahril Mod Husin berkata, TNB melalui anak syarikatnya TNB Research Sdn Bhd memilih Pusat Pelancongan Kelip-kelip Kampung Dew sebagai salah satu daripada empat kawasan angkat syarikat itu dalam usaha memulihara kawasan kelip-kelip selain Kampung Kuantan, Kuala Selangor; Kampung Sungai Timun, Negeri Sembilan dan Kampung Yak Yah, Terengganu.

Menurutnya, satu kajian kelip-kelip dilaksanakan pihaknya dengan kolaborasi bersama pakar-pakar daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi membangunkan satu kaedah pelan pengurusan ekosistem lestari bagi pemuliharaan populasi kelip-kelip dan habitatnya.

"Setelah hampir dua tahun kerja-kerja penyelidikan dilaksanakan di Kampung Dew, kami mendapati populasi kelip-kelip di Sungai Sepetang dalam keadaan stabil dan terdapat dua spesis utama ditemui iaitu Pteroptyxt Tener dan Pteroptyx Valida.

"Ketika ini, fasa pertama kajian sudah mencakupi 70 peratus apabila pihak kami cuba memahami dahulu keperluan habitat di Kampung Dew sebelum membuat pemeliharaan.

"Selain itu, kami turut berusaha mewujudkan satu aktiviti penanaman anak pokok berembang secara nurseri bagi membolehkan penduduk setempat memperolehi pendapatan sampingan selain pekerjaan nelayan dan pemandu pelancong," katanya kepada media pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri TNB bersama Ketua-ketua Komuniti dan Pendayung di Jeti Pelancongan Kelip-kelip Kampung Dew, di sini hari ini.

Abdul Yunus (dua, kanan) berkesempatan menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri TNB di Kampung Dew, hari ini.
Abdul Yunus (dua, kanan) berkesempatan menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri TNB di Kampung Dew, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Abdul Yunus Jamhari.

Artikel Berkaitan:

Shahril berkata, pihaknya menjangkakan keseluruhan fasa kajian membabitkan dana RM400,000 akan dapat disempurnakan menjelang Ogos 2020.

Menurutnya, pelaksanaan kajian ini dihasratkan dapat menjadi platform perkongsian ilmu bersama komuniti setempat mahupun pelajar sekolah atau kolej tentang memelihara alam semulajadi.

"Melalui pelaksanaan keseluruhan tiga fasa kajian di Kampung Dew, di sini, kita berharap populasi kelip-kelip dan habitatnya kekal terpelihara sebagai salah satu khazanah alam patut dibanggakan selain berpotensi besar sebagai sumber ekonomi negeri.

"Kita turut berhasrat menjadikan Pusat Pelancongan Kelip-kelip Kampung Dew sebagai salah satu produk pelancongan kelip-kelip bertaraf dunia dan setanding dengan Jeti Kelip-kelip Kampung Kuantan, Kuala Selangor pada masa hadapan," katanya.