Kerajaan berusaha selesai masalah penempatan Bukit Malut

Mahathir menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir di majlis berkenaan, di sini hari ini.
A
A

LANGKAWI - Kerajaan akan berusaha untuk menyelesaikan masalah penempatan di Bukit Malut, di sini yang sekali gus akan menangani pelbagai masalah sosial di kawasan terbabit termasuk penyalahgunaan dadah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penduduk di Bukit Malut perlu ditempatkan di kawasan perumahan yang lebih terancang dan sempurna.

Katanya, ketika ini pemandangan di Pulau Langkawi menjadi tidak elok memandangkan kawasan setinggan terlalu padat dan tidak tersusun.

"Kita tahu mereka bukan penduduk tempatan, mereka datang dari tempat lain dan tiada rumah. Mereka mendirikan rumah sendiri sehingga menjadi setinggan yang tidak elok.

"Kita akan buat perancangan untuk menempatkan mereka dalam rumah yang lebih sempurna.

"Kalau kita dapat betulkan rumah, kita akan dapat selesaikan masalah sosial di situ (termasuk dadah) kerana sekarang ini kita nak masuk rumah pun susah,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Langkawi di Kompleks Sukan Lada, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail turut memandang serius isu berkenaan.

"Semalam pun beliau ada mengeluarkan kenyataan berkaitan pelan untuk menjadikan penempatan di kawasan itu lebih teratur dan tersusun," katanya.

Bukit Malut yang terletak kira-kira 20 kilometer dari pekan Kuah antara kawasan yang dipercayai menjadi lubuk penyalahgunaan dadah di Pulau Langkawi.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador melalui temubual eksklusif bersama sebuah akhbar tempatan berkata, tidak mustahil pulau peranginan terkenal itu menjadi ‘gedung’ dadah suatu hari nanti jika lambakan bahan terlarang tidak dibanteras segera.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia