Jemaah haji Malaysia diingat kekalkan rekod cemerlang

Fuziah selepas memotong reben sebagai simbolik perasmian Program Perhimpunan Perpaduan Demi Negara dan Majlis Jalinan Muhibah Aidilfitri Peringkat negeri, di sini hari ini.
Fuziah selepas memotong reben sebagai simbolik perasmian Program Perhimpunan Perpaduan Demi Negara dan Majlis Jalinan Muhibah Aidilfitri Peringkat negeri, di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Jemaah haji di negara ini harus sentiasa mengekalkan rekod cemerlang sebagai paling berdisiplin setiap kali musim haji berlangsung.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, semua jemaah haji yang akan mula berangkat ke Tanah Suci, Makkah, 4 Julai ini diminta berdedikasi dan menjaga rekod yang telah mendapat pengkitirafan dari kerajaan Arab Saudi.

Menurutnya, jemaah dari Malaysia sentiasa mendapat pujian dari kerajaan Arab Saudi berikutan kaedah pengurusan terbaik dilakukan oleh pihak Tabung Haji (TH) selama ini.

"Beberapa penambahbaikan juga telah kita dilakukan dengan kerjasama kerajaan Arab Saudi yang juga dijangka lebih memudahkan urusan sepanjang jemaah haji Malaysia berada di sana.

"Sebelum ini sudah ada sistem pintar digunakan pihak imigresen di sana yang memberikan keselesaan kepada jemaah kita di mana sebaik tiba di Makkah, jemaah boleh terus ke tempat penginapan masing-masing dan bagasi milik mereka akan dihantar oleh pihak berkenaan ke bilik.

"Kita juga memberi pendedahan kepada mereka tentang suhu di sana kerana musim haji tahun ini boleh mencecah 50 darjah Celsius, jadi saya nasihatkan mereka supaya membawa pakaian bersesuaian selain banyak minum air bagi mengelak terkena penyakit seperti fenomena gelombang haba," katanya yang akan turut ke Makkah pada 2 Ogos ini untuk bersama-sama jemaah dari Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Perhimpunan Perpaduan Demi Negara dan Majlis Jalinan Muhibah Aidilfitri Peringkat negeri, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Baharin Idris.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai status permohonan penambahan kuota haji, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, kuota haji buat Malaysia masih kekal 30,200 tempat bagi setiap musim dan tiada setakat ini.

"Kita amat beri perhatian kepada perkara ini dan akur dengan keputusan kerajaan Arab Saudi. Kita akan terus cuba memohon (penambahan kuota) daripada mereka.

"Namun kabinet ada memaklumkan kepada saya bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan berjumpa dengan Raja Salman untuk membincangkan tentang kuota tambahan haji buat rakyat Malaysia.

"Kalau boleh ditambah kuota lebih bagus kerana buat masa ini, tempoh menunggu giliran menunaikan haji sangat panjang dan ada antaranya mencecah sehingga 100 tahun barulah dapat menunaikan haji," katanya.