Usul segerakan bina jambatan Pengkalan Kubor-Tak Bai

Mohamaddin (kiri) dan Ekkarat (tengah) pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di sekitar wilayah Tak Bai, Thailand.
A
A

TAK BAI - Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya akan membawa usul agar kepada Kementerian Kerja Raya agar pembinaan jambatan antara Pengkalan Kubor, Kelantan dan Tak Bai, Thailand disegerakan.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, pihaknya memberi sokongan penuh.

"Saya dimaklumkan bahawa Thailand bersedia untuk melaksanakannya dan kami akan usulkan kepada kementerian berkenaan," katanya.

Menurutnya, pembinaan jambatan tersebut mampu meningkatkan sektor ekonomi termasuk pelancongan kedua-dua negara.

"Saya yakin sekiranya jambatan ini dibina dan siap, ia perniagaan di kawasan ini akan meningkat," katanya pada pemberita selepas mengadakan lawatan di sekitar Tak Bai, di sini hari ini.

Lawatan rasmi kali pertama itu selama dua hari merupakan jemputan daripada Gabenor Narathiwat, Ekkarat Lessen.

Dalam pada itu, Muhamaddin menyifatkan lawatan tersebut berjaya mempromosikan pelancongan sempadan (border tourism) di wilayah itu.

"Bagi kami lawatan ini berjaya mempromosikan pelancongan Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2020," katanya.

Pada Januari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, kedua-dua negara bersetuju untuk mempercepatkan proses pembinaan jambatan yang akan menghubungkan Kelantan dengan Narathiwat iaitu Jambatan Tak Bai-Pengkalan Kubor dan Sungai Golok-Rantau Panjang.

Sementara itu, menyentuh isu keselamatan di Narathiwat, Ekkarat memberi jaminan keselamatan terhadap pelancong di wilayah itu.

"Polisi yang diperkenalkan kerajaan lepas memberi jaminan keselamatan bukan sahaja di Narathiwat bahkan juga di daerah-daerah lain di Thailand,"katanya.

Mohammadin turut bersetuju daerah tersebut selamat dikunjungi susulan terdapat kawalan keselamatan di seluruh daerah ini.

"Narathiwat kawasan aman damai dan selamat untuk dikunjungi. Di mana-mana ada kawalan namun ia bukan bermaksud ada kacau bilau sebaliknya prinsip yang diamalkan Gabenor adalah utamakan keselamatan umum. Tidak perlu ragu-ragu untuk datang ke mari," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia