Cuepacs cadang rangka sistem saran lebih komprehensif

Azih Muda
Azih Muda
A
A
A

KOTA BHARU - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bercadang mengemukakan sistem saraan baharu yang lebih bersifat komprehensif dan memberi lebih banyak faedah kepada penjawat awam bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya ketika ini sedang mengumpul segala input berkaitan untuk dikemukakan kepada kerajaan bagi membantu proses merangka draf cadangan itu.

“Sejak SSM dilaksanakan pada 2002, sehingga kini sistem saraan yang sedia ada belum diubah dan oleh itu kami berharap dengan adanya sistem baru ini ia dapat mengambil kira cabaran 2020 pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Makan Malam Cuepacs Peringkat Kelantan yang turut dihadiri Pengerusi Cuepacs Kelantan, Aminuddin Awang di sini, malam tadi.

Menurutnya, sistem saraan baharu itu dijangka dapat membantu penjawat awam menangani kos sara hidup berikutan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan berbayar seperti elektrik dan kemudahan jalur lebar yang tidak terkawal.

“Sistem saraan yang lebih komprehensif ini dilihat mampu untuk menyuntik semula semangat dan meningkatkan lagi produktiviti penjawat awam ke tahap lebih tinggi sekali gus menyahut cabaran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Malaysia dapat kembali sebagai Harimau Asia,” katanya.

Sementara itu, Azih berkata, pihaknya berharap kerajaan memberi pampasan yang setimpal kepada keluarga Allahyarham Pegawai Bomba (PB) Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia Isnin lalu selepas diserang sekumpulan lelaki dalam kekecohan sebuah kuil di Subang Jaya, Selangor, bulan lalu.

“Ia sebagai tanda galang ganti kepada keluarga kerana pengorbanan Allahyarham yang berkhidmat kepada negara yang akhirnya melibatkan kehilangan nyawa, sekurang-kurangnya dengan pampasan yang setimpal ia dapat mengubati hati keluarganya,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan: