Peruntukan RM1.4 juta untuk persatuan belia

Ahmad Samsuri menurunkan tandatangan pada replika cek kepada Tabung Pembangunan Belia Terengganu sempena Majlis Sambutan Hari Belia Negeri Terengganu di Dewan Berlian Utama MPK.
Ahmad Samsuri menurunkan tandatangan pada replika cek kepada Tabung Pembangunan Belia Terengganu sempena Majlis Sambutan Hari Belia Negeri Terengganu di Dewan Berlian Utama MPK.
A
A
A

KEMAMAN - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.4 juta untuk Tabung Pembangunan Belia Terengganu yang akan memberi manfaat kepada sebanyak 600 persatuan belia di pelbagai peringkat di negeri ini.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan itu untuk pengurusan dan pembangunan persatuan-persatuan belia sekali gus menjadi satu suntikan motivasi.

"Mana-mana persatuan yang aktif mereka akan dapat bantuan pengurusan yang lebih sedikit berbanding yang kurang aktif dan ia menjadi motivasi kepada persatuan yang kurang aktif supaya pada masa akan datang mereka akan jadi lebih aktif.

"Dalam masa sama untuk persatuan induk, kita beri bantuan yang lebih besar berbanding persatuan-persatuan yang berada di bawahnya atau persatuan yang kecil," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu 2019 di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) malam tadi.

Pada majlis itu, Ahmad Samsuri turut menyerahkan replika cek berjumlah RM1.4 juta kepada Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu, Amirullah Othman.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berharap bantuaan yang disalurkan itu membolehkan kerajaan negeri bekerjasama dengan persatuan-persatuan belia dalam apa juga perkara yang ingin dilaksanakan di negeri ini pada masa akan datang.

Tambah beliau, bantuan berkenaan juga merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada persatuan-persatuan belia di negeri ini yang telah banyak melakukan pelbagai aktiviti melibatkan anak-anak muda.

"Kerajaan negeri mengiktiraf kepentingan golongan belia dan beliawanis di negeri ini terutama sebagai generasi masa hadapan kerana merekalah yang akan terus membangunkan negeri nanti," katanya.

Artikel Berkaitan: