Polis serius tangani kes kanak-kanak hilang

Razarudin Husain. - Foto The Star
A
A

IPOH - Dipengaruhi rakan dan kekasih, perselisihan faham dengan keluarga, ingin mencari kebebasan atau pekerjaan antara punca-punca kes kanak-kanak hilang yang dikenal pasti di negeri ini.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata, seramai 24 daripada 32 kanak-kanak bawah 18 tahun dilaporkan hilang sejak 2010 hingga Mei lepas telah berjaya ditemui manakala selebihnya masih dalam siasatan dan belum ditemui.

"Polis Perak memandang serius berkenaan kes-kes kehilangan kanak-kanak ini bagi mengelakkan daripada dikaitkan dengan kes pemerdagangan manusia," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pihaknya telah menyiarkan gambar dan butiran mangsa yang hilang menerusi platform media, tempat-tempat awam dan semua pintu keluar sempadan negara dalam usaha mengesan mangsa.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengalu-alukan pembabitan pelbagai pihak termasuk orang ramai supaya membantu menyalurkan maklumat menerusi Sistem Amaran Awal Kehilangan Kanak-Kanak yang dikenali sebagai Nur Alert yang merupakan pusat pengumpulan dan penyebaran maklumat mengenai kehilangan kanak-kanak di bawah 12 tahun.

Selain itu, maklumat juga boleh disalurkan melalui portal kanak-kanak hilang di laman web rasmi PDRM berhubung kes kehilangan kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun.

Beliau berkata pihaknya sentiasa melakukan kajian semula terhadap siasatan orang hilang yang masih gagal ditemui pada setiap enam bulan bagi mendapatkan perkembangan kes atau petunjuk baharu. - Bernama