Bekalan air di empat wilayah pulih sepenuhnya

Abdul Raof Ahmad
Abdul Raof Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Gangguan bekalan air di kesemua kawasan di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang berikutan pencemaran bau di Sungai Semenyih pulih sepenuhnya hari ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, gangguan bekalan berlaku sejak Rabu ekoran Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas.

Menurutnya, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan persatuan penduduk yang menghulurkan bantuan sepanjang tempoh gangguan dan pemulihan bekalan.

“Air Selangor komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan sentiasa berusaha untuk meminimakan gangguan bekalan air kepada pengguna.

“Kerjasama pelanggan dihargai dan kami minta semua pengguna dapat bersama-sama menjaga sumber air serta menggunakannya dengan cara berhemah,” katanya..

Katanya, pengguna boleh memuat turun aplikasi telefon bimbit Air Selangor di Google Play atau Appstore untuk mendapatkan maklumat berhubung bekalan air.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan pencemaran bau dikesan berlaku di Sungai Semenyih yang mengakibatkan bekalan air bersih di beberapa kawasan sekitar terjejas sejak Rabu lalu.

Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sungai Semenyih) terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran yang dikesan.

Artikel Berkaitan: