Pengalaman ibadah korban di Chad

Penduduk Chad sangat mengalu-alukan kedatangan pengunjung di kawasan mereka.
Penduduk Chad sangat mengalu-alukan kedatangan pengunjung di kawasan mereka.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Melihat status Chad yang tersenarai sebagai negara keempat termiskin dunia, AQ4U Sdn Bhd sekali lagi memilih untuk mengadakan program ibadah korban di republik berkenaan tahun ini.

Pengarah Urusannya, Ustaz Abdul Halim Othman berkata, negara yang terkenal dengan julukan ‘Jantung Mati Afrika’ itu terletak di tengah-tengah benua Afrika dan dikelilingi gurun yang tandus.

“Selain melaksanakan program ibadah korban, kita juga melaksanakan projek infaq telaga untuk penduduk Islam di negara itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Halim berkongsi pengalamannya berada lima hari di negara itu tahun lalu.

“Perjalanan memakan masa hampir 22 jam. Tanpa hubungan diplomasi antara dua negara secara rasmi, rombongan kami mendapat kerjasama Majlis Hal Ehwal Islam Republik Chad,” katanya.

Beliau berkata, pekerjaan utama penduduk ialah sektor pertanian dan penternakan.

“Kami dapat melihat jurang penduduk iaitu golongan mewah menetap di ibu kotanya N’Djamena manakala penduduk miskin pula berada di kawasan penempatan serba daif serta berkongsi tandas,” katanya.

Abdul Halim berkata, beliau dimaklumkan masyarakat miskin hanya makan daging lembu setahun sekali sempena program korban.

Artikel Berkaitan:

“Masyarakat miskin tersebut menganggap program korban ini sebagai rezeki bagi mereka. Program ini adalah amanah yang kita galas mewakili rakyat Malaysia yang berhasrat menyempurnakan ibadah ini,” katanya.

Beliau menyifatkan program berkenaan adalah sokongan berasaskan hubungan persaudaraan Islam pertama dari Malaysia.

“Matlamat AQ4U adalah untuk mengeratkan hubungan merentasi negara, bangsa serta warna kulit.

“Pada masa sama, kami ingin memudahkan umat lslam di Malaysia melaksanakan ibadah korban dengan harga berpatutan iaitu hanya RM350 untuk satu bahagian lembu dan RM570 untuk seekor kambing,” katanya.