JKM kesan waris dua kanak-kanak

Muhammad Aidil Amin & Sahasra
A
A

SUBANG JAYA - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Subang Jaya sedang mengesan ibu kandung atau waris kepada dua kanak-kanak bagi urusan dokumen pengenalan diri dan proses penempatan.

Pegawai Pelindung, Mohd Hazril Mohd Kodri berkata, kes pertama bagi kanak-kanak bernama Sahasra, 4 bulan, ditinggalkan ibunya bersama sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

"Mahkamah kemudian memerintahkan kanak-kanak ini diletakkan di bawah jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) iaitu C. Selvandran dan G. Parameswary.

"Ibu kanak-kanak ini warganegara Myanmar tidak mampu menyara, menjaga kanak-kanak tambahan ditinggalkan suami dan menyerahkan ke NGO tersebut untuk dijaga," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Hazril berkata, pihaknya dalam proses melengkapkan permohonan Daftar Lewat Kelahiran kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Bagi kes kedua, Mohd Hazril berkata, JKM juga sedang mengesan ibu kandung kepada Muhammad Aidil Amin, 7, yang ditinggalkan oleh ibu kandung kepada penjaga.

"Mahkamah telah memerintahkan kanak-kanak diletakkan di bawah jagaan OLYS di sebuah pusat kebajikan bagi penempatan," katanya.

Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Mohd Hazril di talian 03-56343095.