Wahai jiwa yang tenang

A
A

KEWARASAN manusia akan lebih terserlah apabila mereka lebih tenang. Jiwa yang tenang adalah sasaran yang paling tinggi yang hendak dicapai oleh setiap manusia. Walaupun mereka tahu perbuatan mereka adalah salah dan sentiasa pula mengulangi perbuatan yang salah, namun keinginan untuk menjadi tenang masih menjadi keutamaan mereka.

Ketenangan ini tidak sedikit pun berkait dengan kekayaan, kepandaian serta darjat yang tinggi sebaliknya ketenangan adalah merentasi semua golongan. Bagi mereka yang dikurniakan ketenangan, apa yang mereka rasa tidak seperti mana apa yang kita lihat. Apa yang mereka fikir tidak seperti mana persepsi kita terhadap mereka. Apa yang jelas, mereka yang tenang adalah mereka yang telah reda dengan kehidupan mereka.

Berkaitan hal ini ALLAH telah berfirman, “Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman supaya mereka bertambah iman dan yakin berserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal ALLAH menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan ALLAH adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (QS Al-Fath 48:4). Berpandukan kepada firman tersebut, adalah jelas bahawa ketenangan itu adalah kurniaan ALLAH semata-mata dan kita seharusnya berusaha untuk mendapatkannya.

Sebetulnya banyak usaha yang telah dilakukan oleh manusia untuk dekat dengan ALLAH sebagai seorang mukmin. Bagi mereka yang berharta, mereka lebih senang dengan sedekah mereka, bagi mereka yang kuat dan sihat, mereka lebih senang untuk solat pada waktu malam dan banyakkan puasa sunat.

Pun begitu, ramai yang memilih untuk mengerjakan umrah bagi mencapai kemuncak ketenangan jiwa. Maka tidak hairanlah jika ramai dalam kalangan kita, walaupun kurang harta dan juga kurang sihat berikhtiar untuk melaksanakan ibadat tersebut. Persoalannya, berapa ramai yang balik dari Makkah dapat memperoleh ketenangan jiwa?.

Pengalaman saya mengerjakan umrah baru-baru ini banyak mengajar diri saya tentang ketenangan jiwa. Menerusi pemerhatian saya selama hampir dua minggu berada di Makkah dan Madinah, saya dapati tiada yang berubah tentang perlakuan manusia walaupun berada di tanah haram yang begitu berkat sekali. Apa yang nyata, tidak ramai yang benar-benar mengambil kesempatan untuk menadah keberkatan di bumi yang berkat ini.

Apa tidaknya, masih ramai yang tidak solat berjemaah di Masjidilharam kerana sibuk membeli-belah. Ada juga yang mengejar bilangan umrah yang banyak sehingga memudaratkan diri sendiri. Malah masih ada yang tidak jujur dan amanah walaupun berada di tanah haram.

Sebetulnya, sikap manusia tetap sama walaupun berada di bumi berkat sekalipun. Terserah kepada mereka untuk menentukan tahap keberadaan mereka di sisi ALLAH. Berkaitan hal ini ALLAH telah berfirman:

“Dan kamu pula menjadi tiga puak (yang berlainan keadaannya) Iaitu puak pihak kanan; alangkah bahagianya keadaan puak pihak kanan itu? Dan puak pihak kiri; alangkah seksanya keadaan puak pihak kiri itu? Dan (puak yang ketiga pula ialah) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia); yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak); Mereka itulah orang-orang yang didampingkan (di sisi ALLAH), (QS Al-Waqiah 56: 7-11).

Hakikatnya, bagi mencapai ketenangan jiwa hatta dalam beribadat sekali pun kita semestinya ikhlas dan khusyuk kepada ALLAH. Jangan ‘tamak’ dalam beribadat, sebaliknya bersederhana dan istiqamah itu lebih baik. Namun bukan mudah untuk menterjemahkannya.

Kita perlu kikis sikap kepentingan diri dahulu sebelum dapat menzahirkan sifat ikhlas dan khusyuk. Kadangkala kita rasa tiada yang salah dalam perbuatan kita, namun pada kaca mata orang lain kita sebenarnya ‘tamak’ dalam beribadat. Apa tidaknya, masih ramai yang membentuk kelompok semasa tawaf dan tidak membenarkan orang lain mendekati kelompok mereka.

Malah ada yang sanggup menyiku orang lain demi mencapai tujuan mereka ‘dekat dengan ALLAH. Begitu juga dengan di Raudah, Masjid An-Nabawi Madinah di mana masih ramai yang tolak-menolak untuk solat di tempat tersebut dan begitu lama ‘bertapa’ di situ sehinggakan tidak memberi peluang kepada orang lain pula. Bagi mereka, gunalah peluang ini semaksimum mungkin kerana bukan senang untuk datang semula ke sini.

Sebetulnya, jika kita ingin menjadi puak ketiga atau Muqarrabin dalam ayat 11 surah Al-Waqiah bukanlah dengan cara yang berkenaan. Ingatlah, kita hanya akan berjaya dekat dengan ALLAH setelah kita berbuat baik sesama manusia. Tiada tempat bagi mereka yang pentingkan diri di sisi ALLAH.

Semakin ramai manusia yang kita dekati dan santuni maka selagi itulah kita akan dekat dengan ALLAH. Jangan takut untuk memberi dan berbakti kerana begitu besar ganjarannya nanti. Semoga kita dikurniakan jiwa yang tenang oleh oleh Ilahi.

- Dr Huzili Hussin


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.