Tak biasa dengan budaya kerja baharu punca letak jawatan

Chong May Lee
A
A

MELAKA - Hospital Pakar Putra Melaka menjelaskan pihaknya sedang melalui fasa penambahbaikan, penjimatan dan penstrukturan semula perjawatan kakitangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Putra Melaka, Chong May Lee berkata, pelbagai langkah telah diambil termasuk menambah baik fasiliti sedia ada, menempatkan jawatan pekerja mengikut kelayakan supaya lebih efisien termasuk menghapuskan orang tengah dalam perolehan bekalan ubat-ubatan bagi mengurangkan kos.

Justeru menurutnya, tuduhan pemberhentian pekerja yang didakwa pihak tertentu sebagai 'penghapusan etnik' adalah tidak benar sebaliknya 13 kakitangan tetap termasuk seorang kakitangan kontrak meletakkan jawatan baru-baru ini adalah secara sukarela tanpa sebarang paksaan.

"Mungkin mereka tidak biasa berdepan dengan tekanan kerja dengan budaya kerja baharu di bawah penstrukturan semula. Saya menafikan tuduhan itu, kerana pengambilan pekerja baharu turut membabitkan kaum Melayu, India dan Cina, mengikut prosedur, kemahiran dan kelayakan dimiliki.

"Untuk rekod pekerja di sini juga majoritinya berbangsa Melayu dengan pengambilan baharu pada Jun 2018 iaitu Melayu 52 orang, Cina 16 orang, India 8 orang dan lain-lain tiga orang,” kata bekas akauntan yang pernah berkhidmat selama lebih 20 tahun di beberapa syarikat terkemuka dunia itu.

May Lee berkata, sejak memegang jawatan itu pada Jun tahun lalu, pihaknya berjaya memulihkan semula prestasi kewangan pusat perubatan milik kerajaan negeri itu selepas merekodkan kerugian terkumpul lebih puluhan juta bagi tempoh tiga tahun berturut-turut sejak 2016.

"Kami telah mengambil langkah menamatkan khidmat kepakaran luar dan memperkasakan kepakaran dalaman dalam bidang tertentu yang mampu menjimatkan perbelanjaan sehingga RM600,000 setahun dan pelbagai lagi.

"Berdasarkan pengalaman dimiliki saya cuba memastikan aliran tunai syarikat kembali lancar dan mampu menjana keuntungan berbanding kerugian yang direkodkan.

"Namun, keuntungan yang disasarkan tidaklah terlalu tinggi kerana sebagai sebuah badan kesihatan, nyawa pesakit adalah keutamaan, diikuti kebajikan pekerja,” katanya.