Jawatankuasa fokus usaha tangani penjualan vape kepada pelajar

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Jawatankuasa khas berkaitan isu kawalan pengunaan vape dan rokok elektronik (e-cigarette) antara lain akan memberi fokus kepada usaha menangani penjualan alat tersebut kepada pelajar sekolah, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata masih banyak promosi penjualan vape dan rokok elektronik dibuat dalam talian untuk menarik pelajar meskipun pelbagai usaha dilakukan untuk menutup laman web berkenaan.

"Trend mereka yang menjual vape dan rokok elektronik kepada kanak-kanak sekolah membimbangkan.

"Justeru kita gunakan 'task force' seperti ini kaji bagaimana kawal penggunaan alat-alat itu dalam kalangan mereka yang berumur bawah 18 tahun khususnya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 81 warga Institut Kanser Negara (IKN) di sini hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad semalam mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas untuk merumus kaedah kawalan terhadap penggunaan rokok elektronik atau vape, yang diketuai timbalannya Dr Lee.

Dr Lee berkata jawatankuasa itu akan memulakan tugasnya secepat mungkin dan merangka rang undang-undang baharu untuk mengawal penggunaan vape dan rokok elektronik yang dijangka dibentangkan akhir tahun ini ataupun tahun hadapan.

Dalam pada itu, Dr Lee berkata menurut kajian Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia pada 1 April hingga 17 April 2019 melibatkan 173 tempat makan di Kuala Lumpur dan Putrajaya, kebanyakan masyarakat didapati sudah tidak merokok di kawasan yang diwartakan.

"Bilangan perokok yang mendaftar untuk berhenti merokok di laman web jomquit.moh.gov.my meningkat kepada 580 orang bermula Januari hingga April 2019, berbanding purata 428 orang bagi tahun-tahun sebelumnya," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: