Pekerja Singapura digesa mencarum dalam skim i-saraan

Mohd Taib (dua dari kiri) ketika penyampaian wang caruman kepada pencarum baharu pada majlis berkenaan di sini hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Pekerja di Singapura dilihat merupakan antara kelompok terbesar dan paling sesuai di negeri ini untuk mendapatkan caruman di bawah skim i-saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua KWSP Negeri Johor, Mohd Taib Ismail berkata, perkara itu dilihat menerusi jumlah kasar pekerja dari negara jiran berkenaan yang sudah menjangkau sehingga kira-kira 200,000 orang.

Menurutnya, dengan jumlah yang besar tersebut, kebanyakan daripadanya tidak mempunyai caruman asas disediakan oleh negara berkenaan dan skim i-saraan merupakan pilihan terbaik untuk mereka menghadapi tempoh persaraan kelak.

"KWSP sangat mementingkan kecerdikan kewangan yang mana khusus untuk memberi persediaan terbaik dalam menghadapi persaraan di hari tua. Jadi sebelum menjelang masa ini, seseorang itu disarankan untuk mempunyai tabungan agar boleh digunakan sebaik mungkin.

"Dalam konteks ini, kita melihat pekerja di Singapura antara yang boleh mendapatkan manfaatnya disebabkan apabila bekerja di negara itu, kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai pilihan dapatkan caruman masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pendaftaran dan Taklimat Program i-suri & i-saraan anjuran NGO dan KWSP di Sutera Mall, di sini, hari ini.

Mohd Taib berkata, antara manfaat paling menguntungkan yang diperoleh daripada pencaruman menerusi skim ini adalah menerima sejumlah simpanan hasil daripada insentif kerajaan dan pulangan dividen setiap tahun.

"Kita tahu kebanyakan daripada mereka ini tidak mahu mencarum kerana mereka tidak mempunyai majikan seperti kebiasaan. Itu tidak menjadi masalah kerana mereka tetap mendapat pulangan hasil.

"Jika seseorang itu membuat caruman secara konsisten, mereka berpeluang mendapatkan insentif kerajaan sebanyak 15 peratus atau paling maksimum sebanyak RM250 setiap tahun. Itu belum pulangan dividen," katanya.

Beliau berkata, produk diperkenal KWSP ini juga mensasarkan penglibatan lebih aktif daripada pekerja tidak formal seperti nelayan, petani mahupun peniaga dalam talian.

Katanya, setakat Mei tahun ini, skim i-saraan di negeri ini sahaja telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dengan rekod sebanyak 8,533 jumlah caruman.