Pelabur sudah hilang keyakinan

Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris
Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Kegagalan dalam menentukan hala tuju, isu politik dalaman, kelemahan mentadbir ekonomi dan perubahan polisi yang drastik telah menyebabkan pelabur tidak lagi yakin dengan Malaysia.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, masalah itu sudah tentu memberi impak negatif kepada rakyat apabila tiadanya penawaran peluang pekerjaan kerana kurangnya kemasukan pelabur asing dalam pelbagai sektor di Malaysia.

Malah katanya, bukan sahaja rakyat terkesan, Jepun yang selama ini menjadi model negara contoh kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga telah hilang keyakinan kepada Malaysia.

“Berdasarkan Laporan Economic Outlook OECD 2019, pertumbuhan KDNK Malaysia adalah lemah dan tidak berkembang dengan purata 4.6 peratus.

"Jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Indonesia yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus dan Filipina sebanyak 6.6 peratus.

“Projek mega China seperti ‘Belt and Road Initiative’ juga dilihat lebih tertumpu di negara seperti Vietnam, Filipina, Thailand dan Singapura kerana dasar mesra pelabur yang lebih terbuka dan insentif ekonomi yang lebih banyak berbanding Malaysia.

“Statistik ini membuktikan kepimpinan kerajaan PH menjadikan Malaysia tidak kompetitif dan lemah daya saing global dalam menarik kemasukan pelabur asing,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Jelas Najmil, Malaysia di bawah pimpinan kerajaan PH sangat ketinggalan sejak kebelakangan ini dengan negara jiran seperti Indonesia yang kini semakin membangun.

Artikel Berkaitan:

Ia berbeza dengan Program Transformasi Ekonomi yang dirangka oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah berjaya memacu ekonomi negara.

Malaysia berjaya menduduki tempat ke-24 daripada 190 negara menerusi Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2018, yang mana negara kita adalah negara kedua teratas di kalangan negara ASEAN dan keempat terbaik di Asia Pasifik.

Malah, pendapatan kerajaan meningkat daripada RM185 bilion pada 2011 kepada RM225 bilion pada 2017 kerana polisi yang cekap dan berdaya saing global ini.

“Kekayaan negara yang dikumpul selama ini untuk kesejahteraan rakyat semakin merosot akibat daripada kelemahan kerajaan PH yang tidak cekap mentadbir.

“Kemanakah janji kerajaan PH untuk mengembalikan kegemilangan Malaysia seperti ‘Asian Tiger’ seperti suatu ketika dahulu?

"Daya saing global Malaysia kini menjadi taruhan. Kini, satu per satu semakin jelas bahawa ia hanya sebuah retorik politik yang dimainkan PH,” katanya.