Pahang negeri pembangkang, cabar kemampuan Wan Rosdy

- Foto sumber internet
- Foto sumber internet
A
A
A

KUANTAN - Perubahan tampuk kepimpinan negara selepas PRU14 menjadikan Pahang berubah status sebagai sebuah negeri pembangkang, menjadi satu daripada dua negeri yang masih 'dikuasai' BN.

Kedudukan Pahang selaku kerusi selamat BN, bagaimanapun agak goyah apabila hanya mampu menang 25 daripada 42 kerusi Dun berbanding 30 pada PRU13.

Pada PRU14, PKR menang sembilan kerusi Dun manakala Pas memperoleh lapan kerusi.

Perubahan paling utama pentadbiran negeri sudah pasti ialah pertukaran Menteri Besar, apabila Adun Pelangai, Datuk Seri Adnan Yaakob tidak lagi 'menduduki kerusi nombor satu itu' walaupun berjaya mengemudi BN menang PRU14.

Bagaimanapun, kemenangan BN di Pahang boleh diibaratkan sebagai 'kejayaan dan kenangan tersendiri' buat Adnan, yang dari awal menyatakan PRU14 adalah pilihan raya terakhir buatnya, selepas mula menjadi Adun sejak 1986. Adnan menjawat jawatan Menteri Besar pada 25 Mei 1999.

Pentadbiran negeri kini di bawah Adun Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang mempunyai tempoh masa dua tahun untuk menunjukkan hala tuju dan kebolehannya, memandangkan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menetapkan tempoh itu pada istiadat mengangkat sumpah Menteri Besar dan semua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Kurang lebih enam bulan mentadbir, Wan Rosdy kini berhadapan dengan cabaran baharu apabila PRK bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands akan diadakan pada Januari 2019 iaitu hari mengundi awal pada 22 Januari dan hari mengundi 26 Januari, ekoran keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 1 Disember lalu membatalkan keputusan PRU14 yang menyaksikan kemenangan BN.

Perubahan pentadbiran negara juga dirasai Pahang, sebagai contoh pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) oleh kerajaan persekutuan terdahulu dengan kerjasama syarikat negara China, yang turut merentasi negeri ini, dari Bentong sehingga ke Pelabuhan Kuantan, ditangguhkan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun yang paling menjadi kontroversi sudah tentu operasi kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas Advance Material Plants (LAMP) di Gebeng di sini, yang sudah berlanjutan sejak mula ia beroperasi pada tahun 2012.

Pertikaian mengenai tahap keselamatan operasi LAMP kepada kesihatan penduduk dan alam sekitar menjadi pertikaian sehingga menyebabkan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) menubuhkan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi LAMP.

Jawatankuasa Eksekutif itu telah mengadakan pendengaran awam di Kuantan pada 11 Nov lalu, bagi membolehkan semua pihak berkepentingan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk sekitar daerah ini menyuarakan pandangan sebelum menyerahkan laporan kepada MESTECC pada 27 November.

Berdasarkan laporan Jawatankuasa Eksekutif itu, mereka memutuskan kekeliruan masyarakat dalam menilai impak radiasi dari kilang mengekstark nadir bumi yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi (NORM) berbanding loji pepasangan nuklear atau loji yang menghasilkan torium atau uranium.

Laporan itu merumuskan operasi LAMP adalah berasaskan teknologi dan prosedur terkawal dengan risiko rendah, namun Lynas masih perlu mengambil langkah sewajarnya khususnya dalam pengendalian sisa Water Leached Purification Residue (WLP) yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi (NORM).

Jawatankuasa Eksekutif itu berpandangan, Lynas perlu segera mengenal pasti lokasi dan membina fasiliti tapak pelupusan kekal (PDF) bagi residu WLP sebelum pembaharuan lesen pada 2 Sept 2019, selain membina tapak penstoran selamat bagi residu NUF.

Lynas menerusi maklum balas mereka pada 5 Disember lalu, menyatakan kesediaan untuk melaksanakan cadangan yang diutarakan.

Sementara itu Projek Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Gebeng, Kuantan yang dilancarkan pada 2013 di atas tanah seluas 1,214 hektar untuk menjadi hub industri berorientasikan eksport dan teknologi tinggi, juga menjadi isu yang mewarnai perkembangan semasa di Pahang.

Kehadiran tembok sepanjang kira-kira sembilan kilometer mengelilingi kompleks industri itu yang tidak ubah seperti ‘Tembok Besar China Kuantan’ menimbulkan salah faham kepada penduduk kerana ia dilihat sebagai kota tertutup sehingga menimbulkan misteri kepada mereka.

Bagaimanapun syarikat itu menjelaskan tembok kontroversi itu bukan memagari keseluruhan dan hanya memagari kawasan kilang keluli Alliance Steel (M) Sdn Bhd dengan keluasan 287.3 hektar.

Ia bertujuan untuk melindungi aset bernilai tinggi dan menjaga keselamatan pekerja syarikat itu, selaras dengan peraturan yang ditetapkan Bahagian Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) dan tidak mempunyai motif tersembunyi melainkan umpama pagar di rumah sahaja.

Hal itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahukan tembok berkenaan diruntuhkan apabila terdapat laporan mengatakan terdapat halangan untuk rakyat tempatan memasuki kawasan itu selain pekerja dari China dihalang keluar dari tembok berkenaan sedangkan ia tidak lebih daripada isu salah faham.

Dakwaan yang mengatakan rakyat tempatan tidak mendapat manfaat dalam tawaran peluang pekerjaan di syarikat itu, juga tidak tepat apabila nisbah pengambilan pekerja di situ adalah 70 peratus rakyat tempatan dan selebihnya warga asing dengan lebih 4,000 peluang pekerjaan ditawarkan kepada rakyat tempatan.

MCKIP dimiliki 49 peratus oleh Guangxi Beibu Guld International Port Group Co Ltd, sebuah syarikat China yang dimiliki oleh kerajaan Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi dan 51 peratus pemilikan selebihnya adalah konsortium tempatan, Kuantan Pahang Holding Sdn Bhd.

Sejak 2013 MCKIP merekodkan komitmen pelaburan bernilai RM19 bilion dengan RM5.6 bilion diterima tahun 2016 dan hampir RM10 billion tahun lalu.

Selain itu, tragedi tanah runtuh tidak lekang daripada menghantui Cameron Highlands apabila dua wanita dan seorang lelaki warga Veitnam maut selepas ditimbus tanah runtuh dalam kejadian terbaru di Batu 49, Kampung Tiga Terla, pada 14 Okt lalu.

Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH), R. Ramakrishnan mendakwa penerokaan tanah yang tidak terkawal menyebabkan beberapa siri kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan itu, namun dinafikan Wan Rosdy yang mengatakan ia berlaku disebabkan oleh keadaan hujan lebat sebelum kejadian.

Bagaimanapun kerajaan negeri telah pun mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian serta Pejabat Daerah Cameron Highlands supaya meningkatkan penguatkuasaan dan memantau sebarang pencerobohan haram di kawasan tanah tinggi itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Dalam masa yang sama Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Datuk Shahar Effendi Abdullah Azizi dalam kenyataan pada Oktober lalu turut memaklumkan kerajaan bersetuju untuk menyambung Op Gading IV bertujuan bagi menggempur pekebun degil yang meneroka tanah sewenang-wenangnya di kawasan peranginan itu. - Bernama