Dua lelaki ditahan miliki heroin

Antara dadah yang dirampas dalam Ops Tapis di daerah ini awal pagi tadi.
A
A

LIPIS - Dua lelaki ditahan sempena Ops Tapis di dua buah lokasi berasingan di daerah ini awal pagi tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu, seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Barus, Kuala Lipis di sini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, lelaki itu ditahan di bilik ketiga rumah terbabit.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui sebuah beg bimbit coklat berjenama di atas katil.

"Setelah beg itu dibuka, terdapat 1 plastik jernih besar di dalamnya mengandungi 20 plastik jernih kecil berbagai saiz berisi serbuk ketulan warna putih disyaki dadah jenis heroin seberat 16.80 gram bernilai RM480.

"Hasil siasatan awal, lelaki itu mengaku dadah yang dijumpainya adalah miliknya dan diperolehi di Padang Tengku di sini dan memiliki satu rekod lampau berkaitan dadah.

"Hasil ujian saringan awal air kencing juga lelaki berasal dari Puncak Alam, Kuala Selangor itu didapati positif methamphetamine," ujarnya.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.

Sementara itu, di bawah seksyen sama, seorang penganggur berusia 34 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di RPT Sungai Ular, Kuala Lipis di sini kira-kira jam 1 pagi.

Jelas Azli, hasil pemeriksaan fizikal ke atas lelaki itu tidak menemui apa-apa namun selepas pemeriksaan di dalam bilik itu menemui 1 plastik lutsinar berisi 8 peket plastik jernih mengandungi serbuk ketulan keputihan disyaki dadah jenis heroin seberat 3.8 gram bernilai RM100.

"Lelaki itu mengaku dadah dijumpai adalah miliknya dan diperolehi di kawasan kilang di Padang Tengku di sini.

"Lelaki terbabit juga dikesan positif methamphetamine selepas ujian saringan awal air kencing," ujarnya lelaki itu memiliki 14 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.