200 kanak-kanak gunting rambut percuma

Rohana (tengah) bersama jawatankuasa program dan peserta Program Bojeng Rambut.
A
A

PASIR PUTEH - Puspanita Sri Pasir Puteh meringankan beban ibu bapa menjelang sesi persekolahan 2019 dengan mengadakan Program Bojeng Rambut, bermula kelmarin sehingga 26 Disember ini.

Pengerusinya, Rohana Omar berkata, pihaknya memahami tanggungjawab berat ibu bapa terutamanya keluarga miskin dan cuba membantu menyelesaikan salah satu bebanan mereka.

“Ibu bapa perlu menyediakan seragam sekolah dan peralatan sekolah kepada anak-anak mereka dalam keadaan mereka berdepan masalah untuk bekerja pada musim tengkujuh ini.

“Kita mengadakan program ini di lapan daerah yang diseliakan Penggawa Daerah terlibat iaitu di Bukit Awang, Bukit Jawa, Limbongan, Jeram, Padang Pak Amat, Bukit Abal. Gong Datok dan Semerak.

Rohana turut menyampaikan beg sekolah kepada kanak-kanak.
Rohana turut menyampaikan beg sekolah kepada kanak-kanak.

“Ia membabitkan 200 kanak-kanak dari keluarga miskin dan golongan asnaf seperti anak yatim,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengupah tukang gunting rambut dengan peserta tidak dikenakan sebarang bayaran.

Penggawa Daerah dan Penghulu Mukim katanya, berkerjasama mencari kanak-kanak berkelayakan dalam kawasan masing-masing untuk menjadi peserta program tersebut.

Puspanita Sri Pasir Puteh juga turut menyumbangkan beg sekolah kepada peserta.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia