Guna harta anak untuk kebaikan diharuskan

A
A

AMALAN memberikan duit raya kepada kanak-kanak seperti sudah menjadi satu kemestian setiap kali Hari Raya Aidilfitri.

Persoalannya, bolehkah ibu bapa menggunakan duit raya anak-anak mereka untuk membeli kelengkapan sekolah? Apakah hukumnya?

Sebenarnya, memberi duit raya kepada anak-anak termasuk amalan yang baik dilakukan di dalam bulan Syawal.

Pada asalnya, segala harta yang dimiliki oleh anak ialah milik ayahnya berdasarkan sebuah hadis sahih riwayat Ibnu Majah, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Engkau dan hartamu milik ayahmu”.

Namun, hadis itu tidak boleh difahami secara literal semata-mata. Imam al-Mubarakfuri di dalam kitabnya, Tuhfah Ahwazi membawa perkataan Imam Ibn Roslan antara lain menyatakan, harta anak bukan pemilikan hak secara total bagi si ayah tetapi harus mengambilnya (harta anak) jika ada keperluan.

Maka, sebahagian ulama menyatakan, jika duit raya atau harta anak digunakan untuk kebaikan dirinya, hukumnya diharuskan.

Adapun, jika digunakan harta anak sewenang-wenangnya untuk tujuan yang tidak dibenarkan syarak, maka hukumnya tidak boleh, apatah lagi ia boleh menganiayai anak-anak dan memudaratkannya.

***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah bebas dan penulis.