Shopee Piala FA 2019: Yeop perlu fokus lebih 90 minit

Perak bakal beraksi tanpa beberapa pemain utama. - Foto Perak FA
Perak bakal beraksi tanpa beberapa pemain utama. - Foto Perak FA
A
A
A

KESEBELASAN Perak diharap dapat memberikan fokus lebih daripada 90 minit demi menjamin kejayaan pada aksi separuh akhir kedua Shopee Piala FA 2019 berdepan Pahang di Stadium Perak, esok.

Pengendali Perak Mehmed Durakovic berkata, perkara berkenaan perlu diberikan perhatian serius oleh semua pemain setelah dua aksi terakhir berdepan Pahang pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan 21 Jun lalu diikuti aksi Liga Super berdepan Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka (24 Jun), gawang skuad The Bos Gaurus itu berjaya dibolosi lawan pada penghujung perlawanan.

Justeru, Durakovic menuntut komitmen sepenuhnya daripada kesebelasan anak didiknya dalam usaha memastikan gawang skuad The Bos Gaurus itu tidak lagi ‘bocor’ pada minit-minit akhir perlawanan sebagaimana yang berlaku sebelum ini.

“Daripada dua aksi terakhir, gawang kita bolos pada minit-minit akhir perlawanan. Jadi semua pemain perlu fokus lebih daripada 90 minit perlawanan, apatah lagi pada perlawanan ‘hidup mati’ menentang Pahang kali ini.

“Apa yang boleh saya katakana, perlawanan malam ini adalah satu perlawanan ‘besar’ dan penting buat kita dan boleh diibaratkan sebagai perlawanan ‘hidup’ atau ‘mati’ apatah lagi kita akan kehilangan ramai pemain utama seperti yang mengalami masalah kecederaan selain digantung perlawanan seperti Amirul (Azahan), Nazirul Naim (Che Hashim), Ronaldo (Henrique) manakala Leandro (Dos Santos) yang pulang ke Brazil kerana masalah keluarga dijangka pulang ke Ipoh hari ini.

“Namun kita tetap yakin dengan kesebelasan sedia ada dan ditambah dengan sokongan padu daripada penyokong Perak untuk kita realisasikan ‘misi’ kejayaan ini,” katanya di sini, hari ini.

Untuk rekod, Perak tewas 1-3 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan 27 Jun lalu dan memerlukan sekurang-kurangnya dua gol selain memastikan gawang tidak dibolosi lawan untuk menempah slot ke aksi final berikutan memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan.

Sementara itu, Durakovic mahu kesebelasan Perak bersedia untuk berdepan asakan Pahang yang dijangka bakal menurunkan kesebelasan terkuatnya berdasarkan kepada aksi Liga Super berdepan Selangor baru-baru ini yang menyaksikan hampir semua pemain utama Tok Gajah itu direhatkan.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, keadaan itu memberi gambaran bahawa Pahang sememangnya serius untuk memenangi perlawanan dan seterusnya menempah slot ke final kelak.

“Pahang dilihat benar-benar serius kali ini. Oleh itu semua pemain perlu bersedia di sepanjang perlawanan dan mungkin juga sehingga ke penentuan sepakan penalti.

“Secara keseluruhannya, saya tetap yakin dengan kesebelasan pemain kerana kami semua ibarat sebuah keluarga besar. Kami kalah bersama, kami menang bersama,” katanya.