Kulit harumanis untuk kecantikan

Kulit harumanis didapati mempunyai khasiat tersendiri dan sesuai dijadikan sabun kecantikan.
Kulit harumanis didapati mempunyai khasiat tersendiri dan sesuai dijadikan sabun kecantikan.
A
A
A

KANGAR- Jika mangga harumanis sangat digemari kerana keenakan isinya, kini kulitnya pula didapati mempunyai khasiat tersendiri dan sesuai dijadikan sabun kecantikan.

Sekumpulan pelajar tahun akhir program Kosmetologi Kolej Vokasional (KV) Kangar di sini, berjaya menghasilkan sabun kecantikan berasaskan kulit buah mangga yang menjadi ikon Perlis itu.

Ketua Jabatan Hospitaliti dan Pelancongan KV Kangar, Yushartini Md Yusof berkata kolej itu bekerjasama dengan Kedah BioResources Corporation Sdn Bhd (KBioCorp) di Kulim, Kedah, membuat kajian kulit harumanis sebelum diinovasikan menjadi sabun.

“Usaha pelajar-pelajar ini buat julung kali berhasil mencipta produk berasaskan harumanis yang mendapat permintaan tinggi sejak diperkenalkan pertengahan tahun lepas,” katanya ketika ditemui di bengkel Kosmetologi KV Kangar di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata nama komersial atau saintifik produk itu adalah sabun mangifera dan pihaknya merancang menambah pengeluaran untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Yushartini berkata idea asal hanyalah sebagai projek tahun akhir pelajar-pelajar berkenaan untuk menghasilkan produk yang boleh dipasarkan melalui koperasi-koperasi sekolah dan jualan dalam talian.

“Namun inovasi yang dibuat dengan menggunakan sabun asas, multivitamin tambahan, minyak terapi dan pewangi khas tanpa bahan kimia untuk mengeluarkan aroma asli harumanis diterima baik oleh pengguna,” tambahnya.

Beliau berkata projek itu berjaya merangkul johan pertandingan Young Entrepreneurs Strive for Success (YESS) pada Ogos 2018 yang melayakkan mereka menyertai Konvensyen YESS peringkat kebangsaan pada September tahun sama dan memenangi anugerah projek terbaik.

Artikel Berkaitan:

Bercerita lanjut, katanya, kajian dijalankan sejak awal 2018 di mana ujian pH (ukuran keasidan atau kealkalian sesuatu larutan) sahaja dilakukan beberapa kali termasuk yang dijalankan bersama KBioCorp.

Sementara itu penolong pengurus KBioCorp, Ahmad Suhaimi Jamaludin berkata, sebenarnya beliau dipanggil oleh KV Kangar untuk memberi pendedahan mengenai kaedah penghasilan produk sabun kepada para pelajar di situ.

“Ketika mengajar itulah tercetus idea mereka mengenai penggunaan produk sampingan harumanis memandangkan Perlis memang sinonim dengan mangga itu.

“Kredit hendaklah diberikan kepada KV Kangar. Saya hanya pembuka jalan. Saya hanya bimbing mereka mengenai teknik untuk hasilkan pati kulit harumanis,” katanya yang juga merupakan ketua unit Herbal Processing Pilot Plant KBioCorp ketika dihubungi Bernama.

Menurut Yushartini, projek itu tidak menghadapi sebarang masalah untuk mendapatkan kulit harumanis kerana dibekalkan secara percuma oleh dua orang guru program Kosmetologi KV Kangar yang mempunyai ladang harumanis.

Selain musim harumanis berbuah iaitu dari April hingga Jun setiap tahun, bagi memastikan bekalan tidak putus, kulit harumanis dijemur hingga kering supaya tahan lama.

Pada masa ini sabun mangifera dihasilkan secara manual dan projek itu beroperasi di bengkel kolej berkenaan. Sebuku sabun itu seberat 58 gram dijual pada harga RM8.90.

Beliau yang berharap pelajar berkenaan akan menjadi usahawan dan menjana pendapatan dari rumah setelah tamat pengajian kelak, juga bercadang selepas ini untuk menghasilkan sabun cecair harumanis sebagai projek pelajar tahun akhir.