12 kes baharu chikungunya dikesan

Datuk Dr Norhizan Ismail
Datuk Dr Norhizan Ismail
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Kesihatan Kedah mengesan 12 kes baharu penyakit chikungunya menjadikan jumlah keseluruhan 35 kes di dua lokaliti di daerah Kota Setar, setakat semalam.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, pihaknya mengesan pertambahan sembilan kes di deretan kedai berhampiran City Plaza, di sini, menjadikan kes dilaporkan di lokaliti ini adalah 28 kes.

Menurut Dr Norhizan, tiga kes baharu dikesan di Simpang Kuala, di sini, menjadikan kumulatif kes dalam wabak ini adalah tujuh kes.

"Bagaimanapun, keadaan kesemua kes chikungunya di kedua-dua lokaliti deretan kedai City Plaza dan Simpang Kuala adalah stabil.

"Siasatan menunjukkan kesemua kes telah terdedah kepada jangkitan sebelum aktiviti kawalan dilaksanakan berdasarkan tempoh onset, walaupun ada peningkatan kes chikungunya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, aktiviti kawalan vektor di lokaliti Simpang Kuala yang dilaksanakan pada 25 Jun diteruskan pada 26 Jun 2019.

"Setakat ini, kira-kira 71 premis telah diperiksa di sekitar Simpang Kuala dan sejumlah 8 kompaun telah dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 dengan nilai RM4,000 kepada pemilik premis yang membiak aedes," katanya.

Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telah dan sedang menjalankan tindakan pencegahan dan kawalan seperti, pengesanan kes secara aktif sedang dijalankan disekitar kawasan terlibat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, antara lain, pihaknya turut menjalankan promosi kesihatan kepada penduduk setempat, iaitu meminta mereka mendapatkan rawatan segera jika mengalami tanda-tanda demam, sakit sendi teruk dan ruam.

"Malah, pemeriksaan dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk aedes di sekitar kediaman dan premis perniagaan turut dilaksanakan.

"Selain itu, aktiviti kawalan vektor, pemantauan kes dan siasatan lanjut akan terus dijalankan oleh PKD Kota Setar," katanya.

Dr Norhizan berkata, pihaknya turut menasihatkan masyarakat melakukan aktiviti-aktiviti seperti membersihkan persekitaran demi mencegah penularan penyakit chikungunya.