X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia, Korea Selatan mulakan rundingan FTA dua hala

A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia telah memulakan rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dua hala dengan Republik Korea Selatan, demikian menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Dalam satu kenyataan hari ini, MITI menyatakan perkara itu telah dipersetujui oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking dan Menteri Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea Selatan, Yoo Myung-hee.

Perbincangan bagi meninjau kemungkinan mewujudkan perjanjian perdagangan dua hala itu telah dicetuskan sewaktu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menemui Presiden Korea Selatan Moon Jae-In pada Mac lepas.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin memperakui kepentingan usaha meningkatkan kerjasama ekonomi serta pakatan antara dua negara terbabit demi kesejahteraan bersama bagi jangka panjang.

"FTA dua hala itu dijangka menyediakan platform lebih baik untuk kedua-dua negara meningkatkan aktiviti dagangan serta memudahkan pelaburan.

"Bagi mengukuhkan elemen kerjasama ekonomi itu, Malaysia dan Korea Selatan amat berminat untuk meninjau jalinan kerjasama yang seiring dengan strategi pembangunan ekonomi kedua-dua pihak seperti Dasar Pandang Ke Timur 2.0 oleh Malaysia manakala Korea menerusi Dasar Selatan Baharu," kata MITI.

Pada 2018, Korea Selatan merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan meningkat 7.2 peratus kepada RM72.60 bilion (AS$17.98 bilion) berbanding 2017.

Korea Selatan juga adalah destinasi eksport kesembilan terbesar Malaysia yang dipacu oleh eksport meliputi produk-produk elektrikal dan elektronik(E&E), gas cecair asli, produk petroleum dan pengeluaran logam, bahan kimia dan produk kimia.

Selain itu, Korea Selatan adalah sumber import kelapan terbesar dengan produk utama membabitkan E&E, produk petroleum, bahan kimia dan produk kimia, jentera, peralatan dan komponen serta produk besi dan keluli. -Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus