Pilpres 2019: Mahkamah tolak dakwaan Prabowo

Prabowo (tengah) mendakwa Pilpres 2019 dicemari penipuan.
A
A

JAKARTA - Mahkamah Perlembagaan Indonesia (MK) hari ini berkata, ia tidak menemui sebarang bukti bagi mengesahkan tuduhan Prabowo Subianto bahawa pilihan raya April lalu dicemari penipuan bersistematik.

Prabowo sebelum ini mendakwa proses pengundian itu diatur, menyebabkan beliau tewas dalam Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2019.

Dakwaan dikeluarkan Prabowo itu mencetuskan rusuhan berdarah di Jakarta.

Ketika membacakan keputusan, Hakim Arief Hidayat berkata, plaintif gagal menjelaskan maksud sebenar 'politik wang' dan 'membeli undi' dalam tuntutan mahkamah.

Malah Arief berkata, plaintif turut gagal mengemukakan bukti kukuh bahawa tuduhan sedemikian mempengaruhi pengundi semasa memangkah calon kegemaran mereka.

Panel sembilan hakim juga menolak dakwaan Prabowo berhubung campur tangan polis dan tentera pada pilihan raya lalu.

Pada April lalu, Joko Widodo atau Jokowi dan pasangannya, Ma'aruf Amin diisytiharkan pemenang Pilpres 2019 sekali gus mengekalkan jawatan disandang untuk tempoh lima tahun lagi.

Menurut portal rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU), Jokowi memperoleh 55.74 peratus undi manakala Prabowo 44.26 peratus berdasarkan undi dikira di 236,975 stesen pengundian daripada sejumlah 813,350 di seluruh Indonesia.

Pada 2014, Prabowo mengisytiharkan kemenangan sebelum mencabar keputusan di Mahkamah Perlembagaan yang mengesahkan kemenangan Jokowi. - Jakarta post