Lelaki Indonesia mengaku tak salah rasuah polis

No Image Caption
A
A
A

TAWAU - Seorang lelaki warga Indonesia, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah yang bersidang di dalam Mahkamah Bergerak di sini, hari ini di atas pertuduhan memberi suapan RM1,000 kepada seorang pegawai polis pada awal tahun ini.

Tertuduh, Haslan Lahaming, 27, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, Haslan secara rasuah memberi suapan RM1,000 kepada ejen kerajaan iaitu pegawai polis yang bertugas di Batalion 17, Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu, Bandar Lahad Datu, Sabah, sebagai dorongan untuk melepaskan lori membawa arak tidak bercukai yang dipandu rakannya bernama Odo Ajam Fabian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Road Check Point, Kalabakan, Tawau pada jam 10.30 malam pada 25 Jan tahun ini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Faliq Basirudin

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah juga menetapkan 25 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: