Perkenal program pemutihan kawasan padi luar jelapang

Abdul Yunus (tengah) menunjukkan Peta Profil Skim Pengairan Changkat Jong yang dipilih sebagai projek perintis program pemutihan bagi kawasan padi luar jelapang.
Abdul Yunus (tengah) menunjukkan Peta Profil Skim Pengairan Changkat Jong yang dipilih sebagai projek perintis program pemutihan bagi kawasan padi luar jelapang.
A
A
A

IPOH - Perak menjadi negeri pertama memperkenalkan program pemutihan kawasan padi luar jelapang menggunakan teknologi geospatial bagi mengatasi isu ketirisan dan penyelewengan dalam pemberian subsidi baja padi kerajaan melibatkan jutaan ringgit.

Exco Kemudahan Awam, Infrastrutruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, kaedah digunakan itu membolehkan data antaranya nombor lot dan profil pesawah diperolehi dengan lebih lengkap dan tepat bagi pengurusan tanaman padi yang lebih berkesan.

"Berdasarkan maklumat diberikan Jabatan Pertanian Negeri Perak, antara punca utama data tidak lengkap dan semakan terperinci sukar dilakukan adalah disebabkan terdapat perubahan nombor lot pesawah yang lama kepada nombor lot baharu, kesukaran carian nombor lot pesawah yang terkini selain isu-isu berkaitan profil pesawah itu sendiri.

"Jadi dengan adanya program pemutihan menggunakan teknologi imej satelit ini, kita dapat menyediakan satu maklumat rujukan rasmi yang boleh digunakan oleh pelbagai agensi sekali gus meningkatkan kecekapan agensi pertanian dalam penyampaian perkhidmatan kepada petani dan mengurangkan pembaziran dalam agihan peruntukan subsidi baja padi oleh kerajaan," katanya pada sidang media Program Pemutihan Kawasan Padi Luar Jelapang Negeri Perak hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pertanian Perak, Nor Sam Alwi dan Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Mohamed Nasser Abdul Razak. Abdul Yunus berkata, bagi tujuan itu, kawasan Skim Pengairan Changkat Jong di Hilir Perak telah dipilih sebagai projek perintis program pemutihan berkenaan.

Katanya, program yang dijalankan selama enam bulan bermula Januari itu berjaya menghasilkan buku profil yang mengandungi sembilan jenis peta, senarai profil pesawah dan profil lot yang berkaitan dengan kawasan padi di situ.

"Prosedur operasi standard (SOP) yang dibangunkan dari program ini akan digunakan untuk program pemutihan di kawasan-kawasan padi lain di seluruh negara.

"Keadaan ini pasti dapat meningkatkan imej Perak melalui penggunaan Teknologi Geospatial dalam bidang pertanian ke arah Revolusi Industri 4.0 selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Geospatial Negeri Perak 2017-2021," katanya.

Artikel Berkaitan:

Antara perbandingan yang dapat dilihat dalam pelaksanakan program pemutihan Skim Pengairan Changkat Jong adalah luas kawasan padi iaitu 1,888 hektar sebelum pemutihan dan 1,884.88 hektar selepas pemutihan, juga 158 hektar kawasan bukan padi (sebelum) dan 308.75 hektar (selepas).

Bilangan lot keseluruhan juga adalah 825 (sebelum) dan 878 (selepas) manakala bilangan pesawah terlibat sebelum pemutihan seramai 486 orang dan 479 (selepas).