Donald Trump bertanggungjawab!

Gambar lelaki Salvador tersebut bersama anak perempuannya yang mati lemas ketika mahu menyeberangi sungai ke AS cetus pelbagai reaksi masyarakat antarabangsa.
Gambar lelaki Salvador tersebut bersama anak perempuannya yang mati lemas ketika mahu menyeberangi sungai ke AS cetus pelbagai reaksi masyarakat antarabangsa.
A
A
A

WASHINGTON - Gambar menyayat hati memaparkan seorang lelaki Salvador dan anak perempuannya mati lemas di Rio Grande mencetuskan rasa sayu di seluruh dunia.

Semalam, Parti Demokrat menyalahkan dasar imigrasi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menyebabkan migran terpaksa menerima nasib seperti itu.

“Trump bertanggungjawab atas kematiannya!’ kata anggota Demokrat, Beto O’Rourke menerusi Twitter untuk mengkritik Trump.

Senator Demokrat, Chuck Schumer turut menunjukkan gambar yang menjadi bukti penderitaan migran ketika berucap di Senat kelmarin.

“Bagaimana Trump melihat imej ini dan tidak memahami golongan ini sebenarnya melarikan diri daripada keganasan dan penganiayaan? Kita boleh lakukan sesuatu tentang ini jika presiden berhenti bermain permainan politik dan menyalahkan pihak lain,” sindirnya.

Bekas Timbalan Presiden, Joe Biden yang bakal bertanding untuk merebut jawatan Presiden pada 2020 juga menyifatkan imej tersebut sebagai sangat menyedihkan.

“Sejarah akan menilai bagaimana tindak balas pentadbiran Trump terhadap keluarga dan kanak-kanak migran. Kita tidak boleh berdiam diri,” tegasnya.

Trump menerusi kenyataan balas bagaimanapun menuding jari menyalahkan Demokrat di Kongres atas situasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Jika kita mempunyai undang-undang yang betul (yang ditolak Demokrat), golongan pendatang tidak akan datang atau cuba datang ke sini. Mereka mahu mempunyai sempadan terbuka. Tetapi sempadan terbuka bermakna jenayah dan orang mati lemas dalam sungai,” ujarnya.

Imej diambil pada Isnin lalu menunjukkan Oscar Alberto Martinez Ramirez, 26, dan anak perempuannya, Valeria ditemukan dalam keadaan terlungkup di kawasan air cetek.

Tangan kanak-kanak berusia 23 bulan itu juga dilihat masih memaut leher bapanya.

Akhbar Mexico turut membandingkan gambar tragik itu dengan imej kanak-kanak lelaki Syria, Alan Kurdi yang mati lemas di Pulau Kos, Greece pada 2015.

Mayat dua beranak itu ditemukan di tebing sungai berhampiran Matamoros, Mexico yang berada di seberang Brownsville, Texas terletak kira-kira satu kilometer dari jambatan antarabangsa.

Akhbar La Jornada melaporkan Ramirez tiba di Matamoros pada Ahad lalu dengan harapan untuk memohon suaka daripada pihak berkuasa AS bersama isteri, Vanessa Avalos dan anak perempuan mereka.

Apabila menyedari proses itu mungkin mengambil masa beberapa minggu, Ramirez akhirnya membuat keputusan untuk berenang menyeberangi sungai.

“Pada mulanya, dia berjaya membawa anak perempuannya ke bahagian Amerika. Tetapi anaknya terjun semula ke sungai kerana mahu mengikutnya kembali semula kepada isterinya. Ketika Martinez mahu menyelamatkan anaknya, kedua-dua mereka dibawa arus deras,” menurut wartawan, Julia Le Duc.

Ibu mangsa, Rosa Ramirez dengan nada sayu berkata, anaknya mempunyai impian untuk membina kehidupan lebih baik bersama bayi perempuannya.

“Mereka hanya mahu memasuki AS untuk merealisasikan impian itu,” tambahnya.

Di Mexico, Presiden Andres Manuel Lopez Obrador juga berdepan kecaman banyak pihak yang mendakwa beliau menyebabkan migran kini terdedah dengan situasi berbahaya selepas golongan tersebut kini semakin sukar untuk menyeberangi sempadan ke AS bagi memohon suaka.

Beliau yang sebelum ini berikrar untuk melindungi hak migran terpaksa mengubah dasar tersebut selepas berdepan ancaman perang tarif Trump.

“Kami percaya adalah penting untuk mengekalkan hubungan baik dengan kerajaan AS untuk elakkan sebarang konfrontasi,” jelasnya. - Agensi