Masalah kesihatan bukan halangan buat Ezad

A
A

PENYANYI Ezad Lazim mengakui perjalanan kerjaya seninya sejak akhir-akhir ini bergerak agak perlahan kerana masalah kesihatan.

Bagaimanapun, Ezad yang juga merupakan vokalis kumpulan Exist ini tidak mahu menjadikan ia sebagai alasan untuknya mengecewakan para peminatnya.

Menurut pemilik nama sebenar Mohd Rohaizat Mohd Lazim, 40, dia bakal tampil dengan single duet terbaharu bersama penyanyi Zamani menerusi lagu Lima Aksara yang akan dilancarkan pada 28 Jun ini.

“Setiap kali jumpa peminat, saya sering ditanya tentang lagu baharu. Jadi inilah masa yang ditunggu apabila single yang dirancang bersama Zamani telah siap dan dilancarkan menerusi saluran YouTube rasmi Broadway Entertainment.

“Saya harap lagu duet ini diterima ramai dan menepati apa yang mereka inginkan,” kata Ezad kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, vokalis kumpulan Exists ini juga bakal tampil bersama kumpulan Exists dalam program Konsert Minggu Ini, terbitan RTM yang akan berlangsung pada 6 Julai depan sebelum tampil bergabung menerusi konsert reunion Exists.

“Alhamdulillah, selepas kemunculan Exists di Anugerah Meletop Era lalu, ramai yang membuat permintaan dan mahukan kesemua anggota Exists sekali lagi tampil bergabung membuat persembahan di atas satu pentas.

“Selain persembahan di RTM dalam masa terdekat ini, insya-ALLAH kami kini dalam perancangan untuk tampil dengan sebuah konsert Reunion Exists dalam skala besar tidak lama lagi.

“Sebenarnya dari dulu kami ada membuat perancangan untuk buat konsert reunion ni tapi tak pernah menjadi. Semoga hasrat kami kali ini mampu dilaksanakan dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada peminat Exists,” ujarnya teruja.

Sertai program komedi

Dalam pada itu, Ezad yang ditemui di majlis sidang media dan pelancaran program Muzikal Lawak Superstar di Hard Rock Café, Kuala Lumpur pada Isnin berkata, dia kini sedang sibuk membuat persiapan sebagai salah seorang peserta dalam program terbaru terbitan Astro Warna ini.

Ezad akan bergandingan bersama Daniel Lawak Solo dan Azmi Caliph Buskers menerusi kumpulan Heart.

“Memang komedi bukan bidang saya namun menerusi gandingan saya bersama Azmi dan Daniel, saya percaya kami dapat membuat persembahan mengikut tema yang ditetapkan.

“Jadi saya harap menerusi penampilan dalam program ini dapat mengubati kerinduan peminat yang selalu sahaja tanya tentang projek dan perkembangan terbaharu kerjaya seni saya,” kata Ezad.