Kawasan perindustrian dijadikan lokasi proses dadah sintetik

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekalan dadah sintetik di negara ini bukan hanya diperoleh dari negara segi tiga emas (Golden Triangle) (Thailand, Myanmar, Kemboja) sebaliknya diproses dalam negara dengan kawasan perindustrian dijadikan lokasi memproses bahan terlarang itu.

Hasil beberapa serbuan polis mendapati sindiket-sindiket dadah kini beralih ke kawasan-kawasan perindustrian yang terpencil dan sunyi untuk dijadikan ‘markas’ memproses dadah sintetik seperti pil Eramin 5 dan syabu dalam skala yang besar.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Kamarulzaman Mamat berkata sindiket-sindiket terbabit akan menyewa kilang di kawasan perindustrian yang terpencil dan sunyi untuk menjalankan kegiatan mereka.

Faktor utama kawasan perindustrian dipilih adalah kerana bahan memproses dadah sintetik seperti chloroform mudah diperoleh.

"Satu daripada kilang memproses dadah terbesar yang berjaya diserbu ialah di Pulau Pinang apabila pihak polis berjaya membongkar sindiket pengeluaran pil Eramin 5 dengan kerjasama Thailand pada 2018.

"Ini membuktikan polis komited membanteras aktiviti pengedaran dadah di negara ini dan kami (polis) mempunyai kerjasama baik dengan pihak luar," katanya dalam temu bual bersama Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Bukit Aman.

Mengulas lanjut, beliau berkata sindiket bijak menyembunyikan kegiatan mereka dengan menggunakan alat penapis udara bagi menghalang bau asid yang terhasil daripada proses penghasilan dadah dikesan.

"Bahan kimia yang diguna untuk menghasilkan dadah akan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan...jadi mereka (sindiket) guna dua alat penapis udara untuk hilangkan bau.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, ada makmal yang dibina di sebelah kilang belacan untuk mengelak bau asid yang terhasil dikesan...sudah tentu orang akan ingat bau asid yang terhasil itu adalah bau belacan," katanya.

Kamarulzaman berkata pihaknya telah menyerbu sebanyak 43 makmal dan kilang memproses dadah sintetik sejak tahun lepas hingga awal bulan ini.

"Ada juga segelintir individu yang mengambil kesempatan membuat dadah sintetik di rumah dalam jumlah yang kecil... Ini juga berjaya dibongkar hasil risikan pihak JSJN," katanya.

Selain itu, beliau berkata kawalan di pintu masuk negara dan kawasan-kawasan tertentu dipertingkat bagi mengelak kemasukan bekalan dadah.

"Risikan mendapati aktiviti pengeluaran dadah dari negara 'Golden Triangle' telah dipertingkat dan ini dapat dilihat apabila banyak rampasan dadah dilakukan oleh polis.

"Oleh itu, JSJN akan bekerjasama dengan semua pihak bagi membanteras kegiatan ini daripada terus berleluasa," katanya.

Berdasarkan rekod, sebanyak 71 tan dadah dianggar bernilai RM213 juta dirampas sejak awal Januari hingga 15 Jun lepas.