'Ikut janji manis bekas suami, anak-anak tak akan bersekolah'

Ismail (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada Norhayani di SK Buloh Lima,di sini hari ini.
Ismail (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada Norhayani di SK Buloh Lima,di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Bagaikan sudah menjadi kebiasaan, perceraian ibu bapa menyebabkan anak-anak menjadi mangsa.

Bukan hanya tiada kasih daripada bapa, malah dua beradik ini gagal mendaftarkan persekolahan setelah mereka sekeluarga berpindah ke kawasan lain.

Luluh hati seorang ibu, apabila kebajikan anak-anaknya diabaikan oleh bekas suami yang hanya tahu memberi janji.

Norhayani Azizan,39, ibu kepada empat anak ini buntu setiap kali memikirkan hal persekolahan dua anaknya.

Penantian yang begitu menyeksakan itu akhirnya terlerai apabila anak-anaknya dapat kembali bersekolah seperti kanak-kanak lain.

Berpindah dari Sungai Petani ke Alor Setar selepas bercerai, ibu tunggal itu kini menumpang di rumah ibu saudaranya di Batu 9, Jalan Alor Setar-Sungai Petani di sini.

"Syukur... Alhamdulillah anak-anak dah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Buloh Lima di sini bermula hari ini.

Artikel Berkaitan:

Ismail (duduk) bertanya sesuatu kepada Muhammad Noor Akif sambil diperhatikan kakaknya, Nur Athirah Khairina.
Ismail (duduk) bertanya sesuatu kepada Muhammad Noor Akif sambil diperhatikan kakaknya, Nur Athirah Khairina.

"Selama ini saya tunggu bekas suami yang kata nak uruskan, tapi sejak bercerai bulan November sampai sekarang, tak ada khabar berita pun," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, bermula detik itu, kedua-dua anaknya, Nur Athirah Khairina Noor Azlan,9, dan Muhammad Noor Akif Noor Azlan,7, tidak lagi bersekolah seperti rakan sebaya mereka.

Dalam pada hanya menunggu, Norhayani berusaha untuk mendaftar semula anak-anaknya bersekolah.

"Tapi masa itu, saya tak bekerja, tak ada duit, fikiran saya jadi buntu, tak tau apa nak buat.

"Alhamdulillah hari ini semua pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pejabat ADUN dan lain-lain sudi bantu kami sekeluarga, saya sangat bersyukur dan berterima kasih," katanya sebak.

Sementara itu, ADUN Pengkalan Kundor, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, sebelum ini berlaku sedikit kesulitan untuk mendaftar kedua-dua kanak-kanak berkenaan disebabkan pihak sekolah tidak menerima surat rasmi daripada PPD.

"Alhamdulillah, berkat kerjasama semua pihak, kedua-dua anak ini dapat kembali bersekolah dan saya juga berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat," katanya.

Ismail yang juga Exco Agama berkata, masalah yang berlaku ini berpunca daripada sikap pengabaian tanggungjawab oleh seorang bapa.

"Walaupun sudah bercerai dan berkahwin lain, namun tanggungjawab kepada anak-anak perlu diteruskan kerana anak-anak juga mempunyai hak untuk mendapat pendidikan yang sempurna dan sebagainya,"katanya.

Turut hadir, Pengarah Zon Utara II, Yayasan Kebajikan Negara, Zulkifli Yaacob dan Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat daerah Kota Setar, Muhamad Jamil Darus.