Dr Mahathir positif Pelan Pembangunan Labuan

Rozman Isli
Rozman Isli
A
A
A

LABUAN - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah memberikan reaksi positif kepada pelan pembangunan jangka panjang Labuan, kata Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli.

Beliau berkata satu taklimat mengenai pembangunan ekonomi yang bakal dilaksanakan oleh Yayasan Pembangunan Labuan (YPL) yang diasaskan beliau telah diberi kepada Perdana Menteri di pejabat beliau semalam (Rabu).

“Perjumpaan dengan Tun Dr Mahathir itu adalah susulan kepada perjumpaan pertama saya dengan belau lima bulan lepas...dan apabila saya memberikan taklimat ringkas kepada beliau mengenai pelan pembangunan Labuan yang akan dijalankan oleh YPL itu semalam, beliau sangat positif mengenai perkara itu dan saya menjangkakan akan menerima hasil positif daripada beliau demi kebaikan masa depan Labuan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran perkhidmatan bot RM300 Labuan-Menumbok-Labuan di Terminal Feri Antarabangsa Labuan di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam taklimat itu, Perdana Menteri telah bertanya mengenai saiz tanah dan kedalaman laut yang akan terlibat dalam pelan pembangunan itu, selain mengenai pelabur berpotensi yang berminat untuk melabur di Labuan.

Rozman mendedahkan bahawa antara isu-isu (yang disenaraikan dalam pelan pembangunan ekonomi Labuan YPL) yang ditaklimatkan kepada Perdana Menteri itu ialah keperluan mendesak pembinaan sebuah jambatan yang telah lama ditunggu-tunggu bagi menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah.

“Kami memerlukan jambatan itu kerana ia akan menjadi game changer bagi landskap lekonomi Labuan, akan memberi tempias ekonomi kepada kedua-dua rantau Labuan dan Sabah,” kata beliau.

Rozman berkata Perdana Menteri juga telah diberi taklimat mengenai perlunya YPL diperkukuh dari segala segi supaya ia dapat memainkan peranan lebih besar dalam agenda pembangunan ekonomi Labuan.

“Pelan pembangunan lain yang YPL perlu memainkan peranan ialah dalam bidang penambakan dan pengambil alihan tanah untuk projek-projek pembangunan di Labuan.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, Tun Dr Mahathir telah menyuarakan kebimbangan beliau terhadap faktor-faktor alam sekitar apabila pembangunan dilaksanakan, dan sudah tentu mulai dari peringkat awal Labuan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan, perdana menteri mahukan Labuan ditukar menjadi sebuah taman,” kata beliau.

Rozman yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan berkata jemputan rasmi kepada Perdana Menteri untuk melawat Labuan juga telah disampaikan kepada beliau. - Bernama