Ahmad Zahid masih ceria

Ahmad Zahid hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, atas menghadapi pendakwaan kes rasuah. Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor.
Ahmad Zahid hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, atas menghadapi pendakwaan kes rasuah. Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih ceria walaupun menghadapi 33 pertuduhan baharu membabitkan rasuah RM42.76 juta daripada sebuah syarikat Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Ahmad Zahid, 66, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Biarpun menghadapi puluhan pertuduhan, Presiden UMNO itu kelihatan tenang dan sempat mengukir senyuman kepada petugas media.

Peguam belanya, Kitson Foong berkata, anak guamnnya masih ceria dan positif meskipun berhadapan banyak pertuduhan.

"Saya rasa, kalau orang lain berdepan 87 pertuduhan mahkamah termasuk semua pertuduhan sebelum ini, selalunya akan tertekan.

"Tapi saya boleh kata beliau masih ceria dan positif kerana kami masih belum diputuskan bersalah. Kami masih dalam fasa persediaan.

“Zahid sentiasa mempunyai karakter yang kuat seperti yang dapat kita lihat hari ini dan kami juga akan menjadi pasukan pembelaan terbaik kepadanya,” katanya kepada media selepas pertuduhan kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid nafi terima suapan RM42.76 juta

Artikel Berkaitan:

Kitson Foong. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
Kitson Foong. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor

Foong juga memaklumkan, pihak pendakwaan dan pembelaan akan membuat permohonan bagi menggabungkan kes rasuah berkenaan.

"Kedua-dua pihak bersetuju penggabungan tujuh kes disebut semalam dan 33 yang disebut hari ini kerana kes-kes tersebut adalah tentang isu yang sama.

“Kedua-dua pihak akan membuat permohonan untuk menggambungkan kes di Kuala Lumpur semalam dan kes di Shah Alam kerana semuanya berkenaan isu sama.

"Tapi, sama ada akan dibicarakan di sini atau di Kuala Lumpur terpulang pada hakim untuk tentukan," katanya.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari lepas, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap 47 pertuduhan dengan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Kesnya kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan mahkamah itu telah menetapkan 18 November hingga 22 November, 2 Disember hingga 6 Disember dan 9 Disember hingga 13 Disember untuk perbicaraan.