Syor undang-undang khusus untuk warga emas

Dr Wan Azizah Wan Ismail
Dr Wan Azizah Wan Ismail
A
A
A

PUTRAJAYA - Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2018 bagi kesihatan warga emas mendapati 8.5 peratus daripada 3,542 responden warga emas yang terlibat dalam tinjauan itu mengalami masalah dementia, dan sembilan peratus telah didera atau diabaikan.

Penemuan itu dibentangkan pada mesyuarat Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini hari ini.

Susulan pembentangan tinjauan berkenaan, majlis itu bersetuju dengan syor mengenai penggubalan undang-undang khusus untuk warga emas, kemudahan rawatan kesihatan mesra pengguna warga emas dan kempen pencegahan penyakit dengan cara mengubah gaya hidup.

Majlis itu dalam satu kenyataan hari ini berkata mesyuarat bersetuju untuk melaksanakan Rang Undang Undang Warga Emas untuk melindungi kebajikan dan hak asasi warga emas, memperkasa warga emas, anggota keluarga dan komuniti serta mewujudkan sistem sokongan yang kukuh kepada warga emas dan penjaga.

"Pelaksanaan kajian kandungan dijangka bermula pada bulan Julai 2019,” kata kenyataan majlis itu.

Majlis itu berkata mesyuarat juga dimaklumkan bahawa dasar untuk menangani penuaan penduduk (aged society) akan dijadikan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-12 di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. - Bernama

Artikel Berkaitan: