Labuan Corporation buka tender tiga projek penting

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

LABUAN - Pihak berkuasa tempatan iaitu Labuan Corporation (LC) telah membuka tender bagi tiga projek pembangunan penting sebagai usaha untuk mebdapatkan semula pelaburannya dan meningkatkan tabungannya serta ekonomi pulau bebas cukai itu secara menyeluruh.

Projek berkenaan adalah kawasan pelancongan popular Pulau Papan, esplanade dekat jeti perikanan lama di Jalan Merdeka di kawasan bandar dan Kompleks Hab Halal Labuan bernilai RM86 juta,

Tender bagi Pulau Papan seluas 8.127 hektar adalah bagi mendapatkan pelabur, pemaju hartanah dan kontraktor untuk membina kemudahan bagi rekreasi pelancongan, hotel, pusat pelancongan komersial dan aktiviti berkaitan.

Pulau itu yang popular bagi aktiviti sukan air termasuk snorkelling, ketika ini mempunyai empat chalet dengan tiga bilik setiapnya, sebuah pejabat pentadbiran dan dilengkapi bilik mesyuarat dan kuarters pekerja, rumah janakuasa, stor, dewan terbuka, jeti, kawasan perkhemahan, tandas dan kemudahan asas yang lain.

Projek esplanade itu bagi pembinaan kemudahan berkaitan aktiviti berkaitan dan kedai bebas cukai.

Semasa dihubungi, jurucakap LC berkata projek esplanade itu telah lama dirancang oleh LC sebagai sebahagian daripada pembangunan pelancongan jangka panjang bagi pulau itu.

Tender bagi Kompleks Hab Halal Labuan di Kiamsam yang sering menjadi bualan ramai, yang menurutnya masih belum memberi manfaat kepada Labuan dari segi ekonomi, adalah untuk pajakan seluruh bangunan kepada pemaju hartanah berlesen.

Beliau berkata tiga projek itu dijangka bermula tahun depan selepas mendapat kelulusan jawatankuasa tender LC.

Artikel Berkaitan:

Tender itu dipaparkan di laman web Labuan Corporation dan dibuka dari 21 Jun hingga 11 Julai. - Bernama