Kerugian 1MDB, rasuah jejaskan kerajaan untuk berbelanja

Menteri Kewangan Lim Guan Eng menjawab pertanyaan media selepas mempengerusikan Majlis Perundingan Belanjawan 2020 di kementeriannya hari ini. Lim berkata kerajaan sedang membangunkan Indeks Kos Hidup sebagai pelengkap kepada Indeks Harga Pengguna (IHP) sedia ada. - Foto Bernama
Menteri Kewangan Lim Guan Eng menjawab pertanyaan media selepas mempengerusikan Majlis Perundingan Belanjawan 2020 di kementeriannya hari ini. Lim berkata kerajaan sedang membangunkan Indeks Kos Hidup sebagai pelengkap kepada Indeks Harga Pengguna (IHP) sedia ada. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Keupayaan kerajaan untuk berbelanja lebih untuk program kebajikan rakyat telah terjejas oleh kekangan kewangan disebabkan kerugian dialami 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan kes berkaitan rasuah yang lain, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

"Kerajaan mahu berbelanja lebih tetapi akhirnya, isu yang diwarisi seperti 1MDB adalah sesuatu yang kami perlu uruskan. Tiada negara yang kerugian RM150 bilion tanpa terjejas olehnya," katanya pada mesyuarat Konsultasi Bajet 2020 di sini, hari ini.

Kerajaan, menurutnya berharap untuk mencapai pertumbuhan lima peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini, dan menurutnya ia akan mengambil masa tiga tahun untuk Malaysia kembali di landasan selepas mengalami kerugian akibat hutang 1MDB.

Berhubung penyatuan fiskal yang sedang dilaksanakan kerajaan, Lim berkata Malaysia sepatutnya dapat mengurangkan defisit fiskal pada paras bawah tiga peratus daripada KDNK pada 2021.

Langkah-langkah penyatuan fiskal yang dilaksanakan kerajaan, katanya, telah membolehkan ia mengurangkan defisit fiskal secara beransur-ansur daripada 3.7 peratus KDNK pada 2018 kepada 3.4 peratus tahun ini sebelum merendahkannya lagi kepada tiga peratus pada 2020.

"Penyatuan ini perlu untuk memelihara penarafan kredit tinggi pada A3/A-. Namun, Malaysia memberi tumpuan pada pertumbuhan ekonomi premium dan penyatuan itu dilaksanakan tanpa mengorbankan kesejahteraan rakyat," katanya.

Guan Eng juga berkata kerajaan tidak akan bankrap, meskipun menanggung banyak hutang dan mampu membayar penjawat awam serta melaksanakan projek-projek pembangunan bagi memastikan pertumbuhan tahunan yang mampan.

Kerajaan, menurut Menteri Kewangan itu turut melaksanakan pelbagai pembaharuan seperti memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal dan Akta Perolehan Kerajaan untuk meningkatkan lagi kredibiliti dan akuantabiliti kewangan awam.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, kerajaan turut menubuhkan Pejabat Pengurusan Hutang untuk secara proaktif menguruskan semua hutang dan liabiliti kerajaan serta menjalankan penilaian komprehensif dan pelaporan pendedahan terhadap risiko, katanya.

"Kerajaan akan melaksanakan penukaran perakaunan berasaskan berakru kepada perakaunan berasaskan tunai pada 2021 untuk memastikan pendedahan hutang dan liabiliti serta nilai aset-aset secara lebih telus,” kata Guan Eng. - Bernama