FAA temukan masalah baharu pada 737 Max

Pesawat 737 Max digantung operasi sejak Mac lalu.
Pesawat 737 Max digantung operasi sejak Mac lalu.
A
A
A

WASHINGTON - Pengawal selia Amerika Syarikat (AS) menemui masalah baharu pada pesawat Boeing 737 Max.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mendakwa ia mengenal pasti risiko berpotensi ketika ujian simulator, namun tidak memberikan butiran lanjut tentangnya.

Difahamkan, Boeing kini sedang menaiktaraf perisian antipegun pesawat yang menjadi fokus penyiasat nahas.

Menerusi Twitter, FAA memaklumkan risiko berpotensi itu telah dikenal pasti dan perlu diatasi oleh Boeing.

Beberapa sumber mendakwa masalah itu dikaitkan dengan kuasa pengkomputeran pesawat dan sama ada pemproses tidak mempunyai kapasiti mencukupi.

Difahamkan, jika pengawal selia tidak berpuas hati dengan perisian yang dibaiki itu, unit pemproses mikro perlu diganti dan tempoh penggantungan operasi itu mungkin mengambil tempoh lebih lama.

Bulan lalu, ia mengesahkan kelulusan perubahan terhadap 737 Max mungkin dibuat pada akhir bulan ini yang membolehkan ujian penerbangan pada awal Julai.

Kebanyakan penerbangan berharap 737 Max dapat kembali beroperasi pada musim panas selepas operasinya digantung pada Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

Nahas pesawat milik penerbangan Ethiopia pada Mac lalu merupakan nahas kedua melibatkan 737 Max dalam tempoh lima bulan selepas pesawat Lion Air di Indonesia terhempas di Laut Jawa pada Oktober 2018.

Laporan awal menunjukkan kedua-dua kemalangan itu berpunca daripada sistem amaran kokpit bermasalah pada jet Max 737 yang turut meragut 346 nyawa. - Agensi