Sultan Johor titah wakil rakyat tidak jadi gunting dalam lipatan

Sultan Ibrahim ketika memeriksa barisan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF).
Sultan Ibrahim ketika memeriksa barisan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF).
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan wakil rakyat negeri ini agar tidak memecah-belahkan kerajaan atau menjadi gunting dalam lipatan.

Sultan Ibrahim bertitah, setiap wakil rakyat kerajaan haruslah memberikan pandangan yang baik dan sokongan padu untuk membantu Menteri Besar dan barisan pentadbirannya.

"Pihak pembangkang seharusnya memainkan peranannya untuk memastikan segala program kerajaan benar-benar memberi faedah kepada masyarakat umum dan dilaksanakan dengan betul serta teratur.

"Saya percaya, sekiranya di dalam hati setiap pemimpin mempunyai perasaan kasih dan sayang kepada negeri Johor, mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjaga kepentingan negeri ini.

"Saya menyeru kepada semua pemimpin, pegawai-pegawai dan seluruh anggota kerajaan di negeri Johor supaya tanamkan perasaan cinta dan sayang kepada negeri Johor dan curahkan khidmat bakti kepada rakyat untuk kemakmuran negeri dan kesejahteraan hidup rakyatnya," titahnya.

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan kedua Dewan Negeri Johor yang ke-14 di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di sini, hari ini.

Titah baginda lagi, menjadi tanggungjawab setiap Ahli Dewan untuk meneliti dan menambah baik setiap undang-undang negeri.

"Namun begitu, sebelum berbahas mengenai sesuatu undang-undang, setiap Ahli Dewan mestilah tahu tentang tujuan, latar belakang dan asas penggubalan enakmen tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Suka juga saya ingatkan kepada semua Ahli Dewan supaya menjaga tingkah laku dan tata tertib pakaian ketika berada di dalam Dewan ini serta patuh kepada peraturan yang ditetapkan.

"Jagalah adab ketika berbahas dan elakkan bercakap berkaitan isu-isu parti politik atau perkara yang sensitif berkaitan kaum dan agama," katanya.

Baginda bertitah, rakyat akan sentiasa menilai prestasi perkhidmatan yang diberikan oleh setiap wakil rakyat.

"Oleh itu, tunaikanlah tanggungjawab untuk membawa suara dan kehendak rakyat, bukannya bersuara dan bertindak demi kepentingan diri sendiri," titahnya.

Baginda juga menyeru semua rakyat supaya mengekalkan budaya hidup yang harmoni, saling hormat-menghormati dan berpegang kepada lima prinsip rukun negara.

"Marilah kita berdoa semoga Johor kekal aman dan makmur dengan semua rakyat dapat hidup harmoni, bersatu padu dan bermuafakat," titahnya.