Tanah runtuh: Lost Paradise Resort masih beroperasi

Berlaku runtuhan pada dinding penahan yang dibina di belakang resort berkenaan. (Gambar kecil: Yew Tung Seang)
Berlaku runtuhan pada dinding penahan yang dibina di belakang resort berkenaan. (Gambar kecil: Yew Tung Seang)
A
A
A

GEORGETOWN - Pusat peranginan, Lost Paradise Resort masih beroperasi seperti biasa selepas kejadian runtuhan tanah di Jalan Batu Ferringhi, Tanjung Bungah, dua hari lalu.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang berkata, sehingga hari ini, pihaknya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) melihat tiada keperluan untuk mengarahkan penutupan resort berkenaan.

Menurutnya, pemantauan rapi sedang dijalankan dari masa ke semasa bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku lagi.

"Kejadian itu bukan runtuhan tanah sebaliknya runtuhan dinding penahan yang dijalankan oleh pemilik resort berkenaan. Siasatan terperinci, kerja mitigasi dan pemantauan rapi sedang dijalankan oleh MBPP dan JKR.

"Buat masa ini, resort berkenaan masih beroperasi seperti biasa. Tiada keperluan untuk menutup operasi resort tersebut kerana keadaan terkawal. Bagaimanapun sekiranya hasil siasatan menunjukkan ia akan mengganggu keselamatan, maka tindakan susulan akan diambil," katanya pada sidang media di Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor tadi.

Pasukan penyelamat sedang menjalankan Operasi SAR dalam kejadian dua hari lalu.
Pasukan penyelamat sedang menjalankan Operasi SAR dalam kejadian dua hari lalu.

Tambahnya, pihaknya akan menunggu cadangan dari pakar yang terlibat dalam mengambil tindakan selanjutnya.

"Pakar-pakar sedang menjalankan siasatan dan kerja-kerja mitigasi. Sekiranya ada cadangan daripada mereka agar resort ini dihentikan operasi untuk sementara waktu, maka kita akan akur. Ini demi keselamatan semua pihak termasuk pengguna jalan raya.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan dan kawalan dari segi kestabilan dan kekukuhan jalan utama amat penting. Kita akan lihat apa tindakan yang sepatutnya perlu diambil selepas ini. Perlu diingatkan, apa sahaja kerja penambahan pada struktur di premis (walaupun persendirian), ia perlu mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

"Ini bagi membolehkan kerja yang dijalankan mendapat seliaan pakar dan kejadian seumpama ini tidak berlaku," katanya.

Dua hari lalu, dalam kejadian kira-kira jam 9.25 malam, empat pekerja asing warga Myanmar maut akibat tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tebing Jalan Batu Feringghi, di sini.

Keempat-empat mangsa berjaya dikeluarkan selepas hampir enam jam tertimbus di dalam longkang yang dipenuhi besi cerucuk.

Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ( JBPM) Pulau Pinang, Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM Kedah, Polis diraja Malaysia ( PDRM ) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.