Spesifikasi tinted berkualiti

Jangan tangkap muat, pastikan terdapat lapisan filem yang dipilih mempunyai perlindungan asas, sekuriti, keselamatan

A
A
A

SEJAK kebelakangan ini, cuaca di negara ini tidak menentu. Kadangkala kita menyangka panas hingga ke petang, rupanya hujan pada waktu tengah hari.

Namun, seperkara yang sukar untuk dinafikan, bahang cuaca panas yang dirasai selepas bulan Ramadan agak luar biasa. Lapisan filem atau tinted kenderaan yang dipasang rakan penulis menggelembung dibuatnya. Ada yang mendakwa, tinted yang dibelinya tidak berkualiti. Tidak kurang pula yang menyalahkan cuaca.

Bercerita soal tinted, majoriti kenderaan di Malaysia memasang tinted bagi mengelak sinar matahari yang memancarkan sinaran ultraungu dan inframerah yang berpotensi merosakkan kulit dan mata. Namun, persoalannya sejauh mana kualiti tinted yang dipilih? Adakah memenuhi klasifikasi yang ditetapkan atau sekadar ada sahaja?

Dalam hal tersebut, terdapat beberapa perkara yang perlu kita fahami sebelum memilih lapisan filem yang tepat. Berikut ialah intipati yang wajib diberi perhatian:

1 Peratus ketelusan cahaya (VLT) dan faktor perlindungan matahari (SPF)

Tahap ketelusan cahaya yang biasanya ditunjukkan dalam nilai peratusan bersamaan dengan peratusan cahaya yang dapat menembusi tingkap sesebuah kenderaan.

Dalam erti kata lain, VLT 30 peratus dapat menapis 70 peratus cahaya nyata dan nilai peratus yang berbaki iaitu 30 peratus mampu menembusi tingkap kenderaan. Filem tingkap akan kelihatan lebih gelap sekiranya tahap VLT lebih rendah.

SPF pula merupakan sebuah pengiraan yang menunjukkan berapa lama sesuatu bahan pelindung matahari (sunscreen) dapat melindungi kulit daripada sinaran ultraungu B (UVB). Sinaran UVB biasanya mengakibatkan kerosakan pada epidermis iaitu lapisan kulit pada bahagian luar. SPF lazimnya mempunyai tahap seperti yang dipaparkan pada mana-mana bahan pelindung mataharic

Artikel Berkaitan:


GAMBARAJAH menunjukkan tahap SPF.
GAMBARAJAH menunjukkan tahap SPF.

  • SPF 15 menangkis 93 peratus sinaran UVB.
  • SPF 30 menangkis 97 peratus sinaran UVB.
  • SPF 50 menangkis 98 peratus sinaran UVB.
Secara kesimpulannya, jika pengguna memakai bahan pelindung matahari yang mempunyai SPF 30, mereka akan memperoleh perlindungan 30 kali ganda lebih banyak berbanding tidak mempunyai sebarang pelindung matahari.

2 Perbezaan kualiti filem kereta

Pernahkah anda melihat filem kereta berubah warna, menggelembung atau mengupas? Ia biasanya disebabkan oleh lapisan filem bergred rendah yang terdedah kepada risiko-risiko yang dinyatakan tadi.

Tambahan lagi, harganya mungkin jauh lebih murah berbanding jenama lain yang dipercayai.


DENGAN lapisan filem kereta bergred tinggi, ia mampu melindungi reka bentuk dalaman kenderaan daripada masalah kecelaan warna dan keretakan.
DENGAN lapisan filem kereta bergred tinggi, ia mampu melindungi reka bentuk dalaman kenderaan daripada masalah kecelaan warna dan keretakan.

Namun, kemungkinan besar ia bukan sahaja tidak berupaya untuk melindungi dan ruang reka bentuk kereta pengguna daripada sinaran UV berbahaya, malah ia juga tidak dapat menangkis kehadiran elemen seperti haba. Filem cermin kereta seperti itu hanya dipromosikan untuk estetikanya. Tinted bergred rendah boleh didapati daripada mana-mana kedai aksesori kereta tetapi aspek kualiti, jangka hayat, perlindungan dan sekuriti yang ditawarkan tidak dijamin. Kos filem berkualiti tinggi biasanya boleh didapati dalam lingkungan harga antara RM700 hingga RM5,000 bagi sesebuah jenama filem kereta yang terkemuka.

3 Ciri-ciri perlindungan asas

Kulit manusia yang terdedah kepada sinaran matahari boleh menjurus kepada masalah kulit. Lebih teruk lagi, boleh mendapat kanser kulit.

Untuk mengelakkannya, pemilihan lapisan filem yang betul perlu dibuat agar pengguna memperoleh perlindungan yang sewajarnya. Filem yang berkualiti tinggi sekurang-kurangnya didatangkan dengan ciri perlindungan UV dan penangkis haba. Kebanyakan filem kereta yang standard dapat menangkis 99 peratus sinaran UV.

4 Pilih jenama yang dipercayai

Pengeluar atau pengedar produk filem kereta boleh memberikan pelbagai jenis kenyataan tentang produk masing-masing, namun kenyataannya mana yang benar-benar sahih? Pembaca boleh cuba menjawab soalan tersebut dengan membuat kajian.

Cuba temukan lampiran spesifikasi produk berkenaan dalam talian untuk memberi kesahihan kenyataan mereka atau cari jenama yang memiliki akreditasi pihak ketiga.

Sebagai contoh, jenama filem kereta seperti 3M disyorkan oleh Pertubuhan Kanser Kulit Amerika Syarikat kerana ia menawarkan SPF yang berjumlah lebih daripada 1,000 iaitu 30 kali ganda lebih tinggi berbanding produk jenama lain yang seumpamanya. Tahap SPF filem yang tinggi menawarkan perlindungan daripada komplikasi seperti selaran matahari, penuaan pramatang dan kanser kulit yang disebabkan oleh sinaran UV matahari. Dengan menangkis radiasi cahaya UV, filem kereta juga mampu melindungi reka bentuk dalaman kenderaan daripada masalah seperti kecelaan warna dan keretakan.

5 Sekuriti dan keselamatan

Selain kebolehan tinted untuk melindungi pemandu dan penumpang daripada sinaran UV yang berbahaya, tinted bercirikan sekuriti mampu menahan serpihan kaca tingkap yang telah retak atau pecah akibat kemalangan atau kecurian.

Di Malaysia, kegiatan kecurian yang dilakukan dengan memecah tingkap kenderaan sudah pun berlaku berulang kali. Lapisan filem sekuriti berupaya untuk membantutkan aktiviti jenayah itu.

Namun, sila ambil maklum bahawa filem sekuriti bukannya 100 peratus tidak boleh ditembusi kerana dalam keadaan kecemasan, tingkap kenderaan masih perlu diakses oleh pihak yang melakukan misi menyelamat.

Kesimpulannya, pemilihan filem kereta ialah satu perkara subjektif. Setiap individu mempunyai kecenderungan, bajet dan keperluan yang berbeza. Sinar Turbo berharap panduan yang dikongsi pada minggu ini dapat membantu pembaca memilih lapisan filem kereta yang tepat.