Sultan Johor sedia pantau pentadbiran kerajaan

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah sebagai pemerintah utama negeri ini baginda akan sentiasa memerhati dan memberi teguran bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan baik, lancar dan teratur.

"Satu tahun telah berlalu bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negeri Johor.

"Beberapa perkara penting juga telah berlaku dalam proses pemimpin-pemimpin kerajaan mencari keserasian di antara mereka dan memahami selok-belok pentadbiran kerajaan negeri," titahnya.

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan kedua Dewan Negeri Johor yang ke-14 di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di sini, hari ini.

Sultan Ibrahim juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Dr Sahruddin Jamal yang menjadi Menteri Besar Johor yang baharu dan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang telah dilantik.

"Suka saya ingatkan bahawa setiap pemimpin yang telah dilantik mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memikul amanah rakyat dan negeri Johor.

"Oleh itu, jalankan tugas yang diberikan dengan jujur dan ikhlas serta sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negeri, berbanding kepentingan peribadi atau parti politik.

Artikel Berkaitan:

Sultan Ibrahim ketika hadir merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan kedua Dewan Negeri Johor yang ke-14 di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di sini hari ini.
Sultan Ibrahim ketika hadir merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan kedua Dewan Negeri Johor yang ke-14 di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di sini hari ini.

"Saya juga menyeru kepada semua pemimpin kerajaan supaya memahami sejarah negeri dan mendalami ilmu pengetahuan dalam bidang pentadbiran supaya dapat membuat sesuatu keputusan dengan tepat dan konsisten, selaras dengan asas pembangunan negeri Johor," titahnya.

Baginda turut mengingatkan supaya kerajaan negeri mematuhi prinsip kewangan yang mana tidak berbelanja lebih daripada hasil yang diterima.

"Oleh itu, kerajaan hendaklah memastikan terdapat lebihan hasil setiap tahun untuk dijadikan simpanan pada waktu susah nanti.

"Pepatah Melayu juga ada menyebut ingat sebelum kena, jimat sebelum habis," katanya.

Baginda juga menyeru kepada kerajaan agar berusaha keras untuk menarik lebih banyak pelabur, terutama dari luar negara.

"Dasar kerajaan yang konsisten adalah perkara penting untuk menggalak dan mengekalkan pelaburan jangka panjang di negeri ini," titahnya.