'Terima kasih mak sebab datang'

Seorang ibu tidak dapat menahan sebak sebaik memeluk anaknya ketika hadir pada Majlis Sambutan Jalinan Kasih Aidilfitri 2019 di Penjara Sungai Petani, Ahad lalu.
Seorang ibu tidak dapat menahan sebak sebaik memeluk anaknya ketika hadir pada Majlis Sambutan Jalinan Kasih Aidilfitri 2019 di Penjara Sungai Petani, Ahad lalu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Penyesalan dan kesedihan yang ditanggung di sebalik tirai besi bertukar kegembiraan setelah melihat ibu bapa dan keluarga hadir memenuhi jemputan sempena Majlis Sambutan Jalinan Kasih Aidilfitri 2019 di Penjara Sungai Petani pada Ahad lalu.

Ahmad, 20 (bukan nama sebenar) dari Tanjung Dawai, Kedah, berkata, dia berasa sangat gembira kerana dapat menatap wajah serta memeluk erat ibunya yang selama ini banyak memberinya semangat sepanjang menjalani hukuman.

Menurut Ahmad, dia juga bersyukur kerana dapat berjumpa dengan dua adik yang sangat dirinduinya.

Namun, Ahmad terpaksa menerima hakikat bahawa bapanya, Amin, 49, (bukan nama sebenar) seorang nelayan, masih ‘merajuk’ dengan perbuatan yang dilakukannya sehingga langsung tidak pernah melawatnya sejak dikenakan hukuman penjara dua tahun lalu.

Kamal bersama ibu saudaranya yang hadir pada Majlis Sambutan Jalinan Kasih Aidilfitri 2019 di Penjara Sungai Petani.
Kamal bersama ibu saudaranya yang hadir pada Majlis Sambutan Jalinan Kasih Aidilfitri 2019 di Penjara Sungai Petani.

“Terima kasih mak sebab mai. Alhamdulillah di sini saya banyak belajar untuk berubah.

“Saya janji lepas habis hukuman, saya akan cari kerja untuk bantu mak ayah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Salah seorang penghuni mengucup ibunya yang hadir pada majlis itu.
Salah seorang penghuni mengucup ibunya yang hadir pada majlis itu.

Ahmad berkata, dia telah banyak melukakan hati kedua orang tuanya selepas disabitkan kesalahan atas tuduhan merogol gadis bawah umur yang juga kekasihnya ketika itu berusia 17 tahun.

Perbuatan mereka terbongkar menyebabkan keluarga kekasih tidak dapat menerimanya sehingga laporan polis dibuat ke atasnya.

“Disebabkan Husna,17 tahun (bukan nama sebenar) saya terpaksa menerima hukuman ini. Saya mengaku tersilap langkah, saya mengaku kesalahan itu tapi demi ALLAH saya berjanji tidak akan ulangi lagi,” katanya.

Pengakuan bersalah yang dibuat akhirnya menyebabkan dia terpaksa berpisah dengan keluarga malah dia terasing dari dunia luar.

Di sebalik tirai besi itu juga, Ahmad terpaksa melupakan cita-citanya malah terpaksa berkorban dalam apa jua keadaan untuk menyesuaikan diri dengan suasana baharu.

Antara 17 penghuni yang terpilih untuk diraikan pada Majlis Sambutan Jalinan Kasih Aidilfitri 2019 di Penjara Sungai Petani, Ahad lalu.
Antara 17 penghuni yang terpilih untuk diraikan pada Majlis Sambutan Jalinan Kasih Aidilfitri 2019 di Penjara Sungai Petani, Ahad lalu.

Disebabkan berkelakuan baik, Ahmad diberi peluang oleh pegawai penjara untuk bertemu dengan keluarganya sempena majlis hari raya.

“Saya tak sabar untuk habiskan hukuman penjara sehingga November 2020 tapi tak tau lagi apa yang akan saya buat nanti.

“Saya bimbang dengan penerimaan orang kepada saya dan berharap agar orang tak pandang serong kepada insan seperti kami,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Hanani, 43 (bukan nama sebenar) mengucapkan terima kasih kepada pihak Penjara Sungai Petani kerana memberi keizinan menyambut hari raya bersama.

“Terima kasih atas jemputan, dapatlah terubat rindu bila boleh jumpa macam ni,” katanya sebak.

Seorang penghuni menunjukkan kad hari raya yang dibuatnya untuk diberikan kepada keluarganya pada majlis itu.
Seorang penghuni menunjukkan kad hari raya yang dibuatnya untuk diberikan kepada keluarganya pada majlis itu.

‘Saya menyesal jual dadah’

Dalam pada itu, Kamal, 19 (bukan nama sebenar) dari Jitra dikenakan hukuman penjara atas kesalahan memiliki dan mengedar dadah.

Menurut Kamal, disebabkan ibunya sudah meninggal dunia, ibu saudaranya dijemput bagi meraikan sambutan hari raya bersama.

“Saya menyesal jual dadah sebab masa tu kawan-kawan yang ajak, nak buat tu senang tapi bila dah kena tangkap tanggung sendiri, kawan tak kan tolong kita.

“Duit memang senang nak dapat, bila dah masuk penjara fikir-fikir balik orang bagi duit banyak mana pun tak mau dah, siapalah nak masuk penjara,” katanya.

Ahmad berjanji ingin berubah dan membina hidup baharu selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Ahmad berjanji ingin berubah dan membina hidup baharu selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Kamal yang berkemahiran membaiki motosikal bercadang mahu bekerja di bengkel sebaik sahaja tamat hukuman Disember nanti.

“Sekarang saya tengah belajar kawad dan terpilih menyertai pertandingan kawad peringkat kebangsaan.

“Saya sedang buat persiapan dan latihan, saya gembira terpilih,” katanya.

Menurut Kamal, pegawai dan anggota banyak mengajarnya berubah menjadi seorang insan berdisiplin. Katanya, sekiranya masa boleh berputar kembali, dia bersumpah untuk tidak mendekati najis dadah selain berdoa agar kehidupannya bertambah baik selepas selesai hukuman penjara.

Ahmad membetulkan songkok adik bongsunya yang turut hadir bagi meraikan hari raya bersama.
Ahmad membetulkan songkok adik bongsunya yang turut hadir bagi meraikan hari raya bersama.

Majlis itu turut menyediakan juadah lemang, ketupat, rendang, biskut raya dan lain-lain bagi meraikan penghuni terpilih bersama keluarga.

Timbalan Pengarah Penjara Negeri Kedah, Penguasa Kanan Penjara Nor Haizan Md Isa berkata, seramai 17 penghuni yang berkelakuan baik terpilih untuk diraikan pada majlis itu.

Hadir sama, Setiausaha Yayasan Pencegahan Jenayah Daerah Kuala Muda, Idris Ismail, Pengurus Sumber Manusia Lypometal Sdn Bhd, Teh Beng Soo dan Pegawai Khas Adun Bakar Arang, Syahrul Aiman Zaini.