Tarik anak kariah dekati masjid

Seorang ajk masjid sedang mengedarkan beras cupak kepada keluarga yang berdaftar.
Seorang ajk masjid sedang mengedarkan beras cupak kepada keluarga yang berdaftar.
A
A
A

AYER HITAM - Ahli jawatankuasa Masjid Ar Rahman, Kerpan di sini komited mengadakan pelbagai aktiviti untuk mendekatkan anak-anak kariah dengan rumah ALLAH SWT ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa masjid berkenaan, Abd Rahman Abd Hamid, 42 berkata, mereka tidak lokek untuk berkongsi pandangan masing-masing walaupun berbeza peringkat umur.

Katanya, ini kerana mereka berpegang pada sunnah Nabi Muhammad SAW yang mana walaupun sekecil-kecil perkara, perbincangan tetap diadakan untuk mendapatkan keputusan sebulat suara.

"Dalam usaha menghulurkan bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan, kami memperkenalkan sudut pakaian percuma kepada ahli kariah yang memerlukan.

"Program ini dilaksanakan sejak November 2016 dan Alhamdulillah setakat ini sambutan sangat menggalakkan sehingga menerima sumbangan pakaian dari luar Kedah," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, selain itu mereka turut mengadakan program beras cupak pada setiap Jumaat,Ahad dan Rabu selepas solat Asar yang melibatkan 52 buah keluarga berdaftar setakat ini.

"Dalam program ini, penerima hanya perlu membawa bekas untuk mengisi beras dan mengerjakan solat Asar berjemaah sebelum menerima beras.

Artikel Berkaitan:

Ajk masjid sedang menyusun pakaian yang diterima daripada penderma di sudut pakaian percuma Masjid Ar Rahman di sini.
Ajk masjid sedang menyusun pakaian yang diterima daripada penderma di sudut pakaian percuma Masjid Ar Rahman di sini.

"Sebenarnya banyak lagi aktiviti dan kemudahan yang kami sediakan di sini untuk menjaga kebajikan anak-anak kariah.

"Malah seperti masjid lain, kami juga aktif mengadakan majlis ilmu pada setiap malam mengikut jadual yang ditetapkan," katanya.

Menurutnya, bagi memastikan ekonomi masjid turut dijana selain sumbangan orang ramai, mereka turut menubuhkan Kedai Masjid Kerpan yang terletak di hadapan masjid.

"Jadi usahawan kampung sekitar sini berpeluang memasarkan produk mereka di sini dan kedai juga mengenakan komisen yang berpatutan untuk menampung kos operasi kedai," katanya.

Menurut Abd Rahman, masjid bukan sahaja tempat untuk umat Islam beribadat, malah menjadi lokasi perhimpunan ummah.

"Kita ikut sunnah Nabi Muhammad SAW yang menjadikan masjid untuk membentuk masyarakat Islam amnya dan ahli kariah khususnya.

"Kita buang semua perbezaan antara kita untuk bersama-sama menyerikan rumah Allah ini, Insya- ALLAH," katanya

Untuk info, berkat usaha keras ahli jawatankuasa masjid ini, mereka telah dinobatkan sebagai Johan Pengimarahan Masjid peringkat daerah Kubang Pasu pada tahun lalu.