Gambar migran mati lemas bersama anaknya bukti derita sebenar

Mayat dua beranak itu ditemukan di tebing sungai berhampiran Matamoros, Mexico.
A
A

AUSTIN - Penderitaan sebenar migran di sempadan selatan Amerika Syarikat (AS) dipaparkan menerusi gambar seorang lelaki warga Salvador bersama anak perempuannya yang mati lemas ketika mahu menyeberangi sungai Rio Grande ke Texas.

Imej diambil pada Isnin lalu menunjukkan Oscar Alberto Martinez Ramirez, 26, dan anak perempuannya, Valeria ditemukan dalam keadaan terlungkup di kawasan air cetek.

Tangan kanak-kanak berusia 23 bulan itu juga dilihat masih memaut leher bapanya.

Akhbar Mexico turut membandingkan gambar tragik itu dengan imej kanak-kanak lelaki Syria, Alan Kurdi yang mati lemas di pulau Kos, Greece pada 2015.

Mayat dua beranak itu ditemukan di tebing sungai berhampiran Matamoros, Mexico yang berada di seberang Brownsville, Texas terletak kira-kira satu kilometer dari jambatan antarabangsa.

Menurut Julia Le Duc yang merupakan wartawan akhbar La Jornada, Martinez Ramirez tiba di Matamoros pada Ahad lalu dengan harapan untuk memohon suaka daripada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) bersama isteri, Vanessa Avalos dan anak perempuan mereka.

Apabila menyedari proses itu mungkin mengambil masa beberapa minggu, Martinez akhirnya membuat keputusan untuk berenang menyeberangi sungai.

"Pada mulanya, dia berjaya membawa anak perempuannya ke bahagian Amerika. Tetapi anaknya terjun semula ke sungai kerana mahu mengikutnya kembali semula kepada isterinya. Ketika Martinez mahu menyelamatkan anaknya, kedua-dua mereka dibawa arus deras," menurut Le Duc menerusi laporannya.

Gambar tersebut membuktikan bahaya yang perlu dihadapi migran dari Amerika Tengah dalam usaha untuk melarikan diri daripada keganasan dan kemiskinan di negara asal demi untuk memohon suaka di AS. - The Guardian