Tun M ingatkan pemimpin fahami derita rakyat

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika tiba pada Majlis ‘My Voice My Nation’ di Axiata Arena Bukit Jalil hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika tiba pada Majlis ‘My Voice My Nation’ di Axiata Arena Bukit Jalil hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan pemimpin agar memahami penderitaan hidup rakyat.

Katanya, ada segelintir pemimpin meskipun datang daripada kelas rakyat biasa mengabaikan penderitaan rakyat, bukan kerana tidak mengetahui sebaliknya bersikap tidak ambil peduli.

"Salah satu aspek kepimpinan yang seringkali diabaikan, adalah kemampuan untuk merasakan orang biasa.

"Kadang-kala apabila pemimpin terdiri daripada bangsawan dan kerabat diraja, kecenderungan untuk tidak memahami penderitaan orang biasa adalah lazim," katanya ketika berucap dalam program It's Not Just My Voice, It's My Story, di Arena Axiata, di sini, hari ini.

Tambah Dr Mahathir, beliau bagaimanapun yakin dengan kerja keras pastinya akan mengeluarkan seseorang itu daripada belenggu kemiskinan dan kesusahan hidup.

"Ketika saya masih remaja, Jepun menjajah negara kita dan kami terpaksa berhenti sekolah sementara waktu, saya menjual goreng pisang di Pekan Rabu, Alor Setar dan dari situ perniagaan saya berkembang.

"Bertitik tolak daripada situ, saya percaya pasti ada peluang untuk kita, jika kita cuba dan berusaha.

"Apabila saya mendapat kedudukan kuasa, saya menyedari bahawa tidak semua orang mampu mencari peluang dan kadang-kadang mereka yang berkuasa (pemimpin) harus membantu rakyat dalam mencari jalan mereka. Dengan menjunjung prinsip beri mereka joran bukannya ikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir turut berkongsi tentang permaisuri hatinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang menjadi tulang belakang kerjayanya sepanjang 63 tahun usia perkahwinan mereka.

"Dikatakan bahawa di sebalik kejayaan setiap lelaki adanya seorang wanita. Saya tidak tahu sama ada saya jatuh ke dalam kategori yang berjaya kerana kerja saya, kerana sehingga hari ini masih dalam proses bekerja dan ia dinilai setiap saat.

"Walau apa pun, saya beruntung mempunyai Hasmah bersama saya sepanjang 63 tahun ini, di saat naik turun perjalanan hidup saya.

"Bonus untuk saya kerana Hasmah seorang doktor yang sentiasa ada di sisi saya hampir sepanjang masa. Saya tidak tahu bagaimana Hasmah bersabar dengan saya setiap waktu, tetapi dengan adanya Hasmah, kehidupan saya menjadi lebih baik," luahnya.