FAMA sasar hasil pengeluaran 25 tan roselle

Ahmad (dua dari kiri) beramah mesra bersama kakitangan dan usahawan Fama yang hadir pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Bersama Usahawan FAMA di sini hari ini.
Ahmad (dua dari kiri) beramah mesra bersama kakitangan dan usahawan Fama yang hadir pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Bersama Usahawan FAMA di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mensasarkan nilai pengeluaran tanaman bunga roselle meningkat kepada 25 tan metrik tahun ini berbanding 21 tan metrik tahun lalu di negeri ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak berkata permintaan ini disebabkan peningkatan permintaan bukan sahaja di dalam negara malah di luar negara.

Menurutnya, walaupun terdapat banyak kawasan di negara ini yang melakukan tanaman pokok roselle namun daerah Rompin merupakan kawasan yang terbaik dan menghasilkan bunga roselle yang berkualiti yang mampu dieksport ke luar negara.

"Pada tahun lalu, 21 tan metrik hasil tanaman roselle dihasil di mana 10 tan daripadanya adalah untuk eksport ke negara seperti Singapura, Hong Kong dan China dan Australia.

"Roselle mengeluarkan hasil yang baik di Rompin atas beberapa faktor seperti tanahnya yang sesuai, penggunaan jenis benih roselle yang betul dan petani di situ yang mempunyai kemahiran betul menanam pokok tersebut.

"Saya berharap petani di kawasan lain yang menanam Roselle dapat menjadikan petani di Rompin sebagai contoh dan kita juga akan menjadikan petani roselle di Rompin sebagai role model untuk petani lain di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Bersama Usahawan FAMA di Pejabat FAMA Pahang di sini hari ini.

Ahmad berkata ketika ini roselle diusahakan di Kampung Tebu Hitam dan Kampung Desa Murni di Rompin di atas kawasan seluas kira-kira 50 ekar yang diusahakan oleh 55 petani.

Artikel Berkaitan:

"Saya gembira kerana petani di Rompin semuanya terdiri daripada peserta Projek Perumahan Tanah Termiskin (PPRT) yang kini penanaman Roselle telah menjadi pendapatan utama mereka.

"Kita juga berbangga kerana penanaman petani di sana berjaya mencapai standard untuk menjadi buah yang boleh dieksport kerana bukan mudah untuk kita eksport di negara luar kerana banyak piawaian yang perlu diikuti," katanya.

Sementara itu, pihaknya dengan kerjasama kerajaan negeri akan menambah 20 hektar lagi tanah sebagai kawasan penanaman roselle di negeri ini.

"FAMA membeli hasil roselle daripada petani dengan harga RM4.70 sekilogram bagi gred premium yang bertujuan untum dieksport dan RM3.20 bagi roselle kegunaan tempatan.

"Antara produk dihasilkan bagi tanaman yang mengeluarkan hasil selepas tiga bulan itu ialah kordial, jem, teh dan kini boleh dibuat untuk kegunaan farmasi," katanya.