MUET jadi tiket pelajar Indonesia lanjut pengajian tinggi di Malaysia

MUET
MUET
A
A
A

JAKARTA - Education Malaysia di Indonesia (EMI) menyasarkan 20,000 pelajar Indonesia menyambung pengajian tinggi mereka di Malaysia tahun ini, menerusi inisiatif terbaharu pra-syarat kemasukan ke universiti di Malaysia.

Pengarah EMI, Prof Madya Dr Mior Harris Mior Harun berkata EMI dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) kini memperkenalkan "Malaysian University English Test (MUET)" sebagai pilihan kelulusan pra-syarat kepada pelajar Indonesia.

"MUET pertama kali diadakan untuk pelajar luar negara, Indonesia menjadi negara pertama untuk pra- syarat ini, sebagai pilihan, selain "English Language Test System (IELTS)" dan "Test of English as a Foreign Language (TOEFL)"," katanya.

Sebagai permulaan, seramai 70 pelajar Indonesia menduduki MUET, bermula hari ini sehingga 28 Jun, untuk mereka mendapatkan "tiket" melanjutkan pengajian tinggi di Malaysia.

Bakal Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MPM, Adnan Husin turut meninjau proses peperiksaan MUET yang diadakan di K Link Tower Jakarta hari ini.

Mior Harris berkata Indonesia yang berpenduduk lebih 260 juta orang itu dilihat berpotensi besar, dalam mempromosikan Malaysia sebagai tempat pelajar Indonesia melanjutkan pengajian tinggi.

"Ketika ini terdapat 170,000 pelajar luar negara di Malaysia, dan dari Indonesia seramai 11,000 pelajar.

" Selain inisiatif terbaharu (MUET) ini, yuran pengajian yang terjangkau, budaya, bahasa yang hampir sama, kualiti dan ranking universiti Malaysia yang baik, berpotensi menjadikan Malaysia pilihan utama pelajar Indonesia melanjutkan pengajian tinggi mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Adnan berkata MUET kini juga telah mendapat pengiktirafan luar negara, sebagai pra- syarat kemasukan pelajar Malaysia ke luar negara.

"MUET kini diiktiraf di enam negara luar iaitu Singapura, United Kingdom, Hong Kong, Jepun, Amerika Syarikat dan China.

"Pelaksanaan MUET buat pertama kalinya untuk pelajar Indonesia, sebagai pra-syarat ini adalah satu kejayaan Malaysia, dalam mengukuhkan lagi Malaysia sebagai hub pendidikan antarabangsa," katanya. - Bernama